Anda di sini

Penganut Kristian Serian julung kali adakan perarakan Krismas

Advertisement

Oleh Henrietta Liza

 

MENARIK: Kereta berhias sempena Perarakan Hari Krismas di Serian menarik perhatian orang ramai.

HAMPIR 3,000 penduduk Serian beragama Kristian mengadakan Perarakan Hari Krismas yang pertama kali di daerah itu walaupun hujan turun tanpa henti petang Ahad lalu.

Kebanyakan peserta yang datang dari gereja-gereja Katolik, Methodist, Anglikan, Borneo Evangelical Mission, Seventh-Day Adventist dan Good News Fellowship itu berkumpul di Taman Komuniti Serian.

Peserta menyanyikan lagu-lagu pujian dan karol selain mengucap doa sebelum berarak sejauh tiga kilometer mengelilingi bandar dengan enam buah kenderaan yang dihias bertemakan Hari Krismas.

Pihak Majlis Daerah Serian (MDS) turut bekerjasama dengan penganjur acara dan kehadiran anggota-anggota RELA serta PDRM cawangan Serian banyak membantu dalam mengawal perjalanan trafik dan acara.

Tetamu kehormat, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Dato Sri Michael Manyin, dalam ucapan pendek beliau menghargai kedatangan umat Kristian yang berhimpun pada petang itu.

Pengerusi penganjur Dennis Edwin berkata, perarakan itu merupakan platform yang paling sesuai untuk menjalin hubungan baik sesama umat Kristian yang terdiri daripada pelbagai mazhab di Serian.

Tegasnya, ia merupakan cara yang sihat untuk golongan belia menyertai aktiviti gereja agar mereka tidak terlibat dengan aktiviti yang kurang bermoral.

“Agak mencabar untuk menggabungkan banyak gereja bagi mengadakan sebuah acara yang berjaya seperti ini, tetapi ia berbaloi.

“Kami sekarang merancang untuk menjadikan ia sebagai acara tahunan dan menjemput lebih ramai orang datang ke pekan Serian yang juga musim cuti sekolah sekarang,” katanya.

Ketika ditemui, Stephen Pasin, 64, berasal dari Kampung Slabi yang juga merupakan warga pendidik berkata, beliau akan mengadakan makan malam bersama lima orang anak dan 16 orang cucu pada malam sebelum Krismas.

Beliau dan isteri turut berhasrat untuk meraikan hari jadi anak kedua dan seorang cucunya yang jatuh pada hari Krismas.

Sementara itu, Damian Langkuk dan Denis Santing masing-masing berumur 50 tahun dan berasal dari Kampung Puun Rimu berkata, kampung mereka akan mengadakan majlis keramaian sempena Krismas.

Pihak gereja kampung itu juga sibuk mengadakan karol secara berkumpulan untuk hampir 200 buah rumah.

Sementara Dominic Daniel Joko, 53, dari Kampung Koran berkata, beliau gembira dapat berkumpul bersama umat Kristian yang lain untuk menyembah Tuhan yang satu.

Advertisement