Anda di sini

Sembilan pemain wilayah tengah ke final snuker tertutup Sarawak

Advertisement

SIBU: Sembilan pemain melayakkan diri ke perlawanan akhir Kejohanan Snuker Tertutup Sarawak yang dijadual berlangsung di Executive 3 Snooker Centre di sini pada 15 Disember ini.

Sembilan pemain dari kawasan tengah ialah Aaron Teo, Nazirul Hadi, Ting Siew Choon, Kenny Wong, Steven Wong, Jee Chai Kim, Justin Teo, Yu Hung Kai dan Lo Chee Wei.

Kesemua mereka adalah pemain dari Sibu kecuali Yu yang berasal dari Sarikei.

Mereka merupakan sebahagian daripada 34 pemain dari seluruh Sarawak yang akan bertarung pada perlawanan akhir nanti.

Kejohanan tersebut yang dianjurkan oleh Sibu Executive 3 Snooker Centre, bertujuan meningkatkan mutu sukan snuker serta bagi mempromosikan sukan tersebut kepada generasi muda.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Snuker dan Biliard Bahagian Sibu Mark Yeo, kejohanan itu juga akan menjadi platform kepada pemain untuk menunjukkan bakat masingmasing.

“Buat masa ini, tidak banyak dilakukan oleh pihak berkenaan bagi mempromosikan sukan ini. Oleh itu, kita berasa menjadi tanggungjawab kita bagi menganjurkan lebih banyak kejohanan bagi menarik minat orang ramai,” jelasnya.

Yeo yang turut menyertai kejohanan tersebut mempelawa peminat snuker bagi menyaksikan kejohanan terbabit.

Juara akan menerima wang tunai RM1,000, naib juara RM800 dan tempat ketiga bersama menerima RM400.

Kesemua hadiah ditaja oleh Executive 3 Snooker Centre.

Sementara itu, majlis perasmian kejohanan dijangka dilakukan oleh ASP Yeoh Chun Shyan pada 15 Disember ini, jam 7 malam.

Advertisement