Anda di sini

Lebih 830,000 saman masih belum dijelaskan pemandu warga asing

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bagi tempoh 2000 hingga 2013, terdapat sebanyak 838,510 saman tertunggak belum dijelaskan oleh pemandu warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan jalan raya di negara ini.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman SAC Mohd Fuad Abd Latiff berkata kebanyakan saman tertunggak itu membabitkan pemandu warga Singapura.

“Jumlah tertunggak bagi pemandu warga Singapura adalah 313,661 iaitu 37.4 peratus diikuti Brunei (48,179), Thailand (17,654), Indonesia (2,614) dan lain-lain (456,402),” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata bagi mengesan kesemua pesalah trafik yang gagal membayar saman ini, pihaknya sedang dalam perancangan untuk menjalankan kerjasama dengan Jabatan Imigresen serta mengadakan sekatan di pintu-pintu masuk negara untuk menjejaki individu berkenaan bagi menyelesaikan saman tertunggak.

“Polis meminta agar pemandu warga asing tidak kira dari Singapura, Brunei mahupun Thailand, yang ingin masuk semula ke negara Malaysia supaya segera menyelesaikan saman terbabit sebelum dikenakan tindakan lanjut. Tolong hormati undang-undang kita.

“Pemandu warga asing juga boleh membayar saman tertunggak melalui www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my dengan menggunakan kad kredit,” katanya.

Mohd Fuad turut menyampaikan sijil kepujian kepada dua anggotanya, Lans Koperal Mohd Syazwan Zulkapli dan Lans Koperal Mohd Farid Amran kerana memberi contoh terbaik dalam usaha meme-rangi jenayah rasuah.

“Kedua-dua mereka menangkap pemandu yang cuba memberi rasuah sebanyak RM800 beberapa bulan yang lepas dan pemandu tersebut dihadapkan ke Mahkamah Taiping pada 2 Dis lalu.

“Cawangan trafik kini sedang memerangi jenayah rasuah di semua peringkat pegawai atau anggota dan pegawai awam cawangan trafik. Sesiapa cuba menyogok rasuah akan di-ambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang,” katanya. — Bernama

Advertisement