Anda di sini

Buda tetap puas hati raih perak

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

Akur saingan sengit 13 pencabar dalam Master Terbuka Kejohanan Mr World 2014

MEMBANGGAKAN: (Dari tiga kiri) Buda, Sazali dan Malvern (barisan belakang, kanan) merakamkan kenangan bersama kontinjen negara selepas majlis penyampaian hadiah.

KUCHING: Atlet bina badan negara dari Sarawak, Buda Anchah tetap berpuas hati dengan kejayaannya merangkul perak dalam Kejohanan Mr World 2014 yang berlangsung di Mumbai, India dari 5 hingga 9 Disember lepas.

Meskipun berdepan saingan sengit 13 pencabar lain pada pusingan final, Buda tetap memberi persembahan memukau untuk menggondol tempat kedua dalam kategori Master Terbuka (80kg).

“Saya tetap berpuas hati dengan pencapaian ini walapun gagal mempertahankan emas dalam kategori master.

“Saingan sangat sengit terutama dari peserta tuan rumah. Tambahan pula, saya terpaksa berdepan ramai lawan yang cukup hebat dari negara lain untuk sampai ke tahap ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Buda, persediaannya untuk ke kejohanan itu sedikit tergganggu berikutan kecederaan lutut yang dialaminya.

Namun, ia tidak menjejaskan semangat atlet kelahiran Sri Aman itu untuk mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Rakan sepasukan beliau, Azahar Mohamad pula berjaya menduduki tempat kelima dalam kategori sama yang dimenangi peserta dari Thailand.

Selain kategori master, Buda turut meraih tempat kelima dalam kategori light weight (70kg).

“Sasaran saya pada 2014 berjaya dicapai dengan koleksi dua emas yang dimenangi pada Kejohanan Mr ASEAN dan Mr Asia dan satu perak daripada pertandingan ini.

“Jika bebas kecederaan, saya akan mewakili Sarawak buat pertama kali ke Kejohanan Mr Borneo 2014 di Kota Belud, Sabah pada 20 Disember ini,” ujar Buda sambil menambah akan melakukan pemeriksaan bagi mengetahui tahap kecederaan kedua lututnya itu di Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).

Buda turut mengintai untuk menyertai Kejohanan Dunia di Bangkok, Thailand pada tahun depan dengan sasaran emas dalam acara kegemarannya.

Menurutnya, beliau juga akan melatih anaknya yang akan mewakili Sarawak pada SUKMA 2015 di Kuala Lumpur.

Sarawak menghantar Buda dan Dr Malvern Abdullah untuk mewakili negara pada kejohanan berprestij tersebut.

Malvern yang membantu Sarawak menjuarai kejohanan Mr Malaysia 2014 bagaimanapun gagal melepasi peringkat kelayakan.

Selain perak yang dimenangi Buda, kontinjen negara berjaya meraih dua emas menerusi Sazali Samad (welterweight, 75kg) dan Lilian Tan (wanita 55kg ke atas).

Manakala sebutir lagi gangsa disumbangkan oleh Mohd Shahrul Mike dalam acara ‘athletic physique.’

Advertisement