Anda di sini

Atlet gimnastik Sarawak menyinar pada Sukan Sekolah ASEAN Ke-6

Advertisement

KUCHING: Atlet gimnastik Sarawak membantu mengharumkan nama negara pada Sukan Sekolah ASEAN Ke-6 yang berlangsung di Marikina, Filipina dari 29 November hingga 7 Disember lepas.

Olahragawati SUKMA XVI, Esmelda Arecia Menti Alfred Geling, Nur Amira Idayah dan Syahzani Izatti Wan Yusof merangkul dua emas, satu perak dan dua gangsa untuk membantu negara muncul juara keseluruhan dalam acara gimnastik yang berlangsung dari 1 hingga 3 Disember.

Esmelda, 14, yang memungut dua emas, tiga perak dan satu gangsa pada SUKMA 2013 di Kuala Lumpur menarik perhatian penonton setelah menggondol dua emas dalam acara batang titian dan melombol.

Beliau turut meraih perak dalam acara berpasukan bersama Amira, Syahzani, Siti Nur Bahagia dari Pahang dan Nur Azira Azri (Selangor).

Esmelda dan rakan-rakannya diiringi jurulatih Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Bogomil Ivanov Momchilov yang telah melatih atlet gimnastik negeri selama tujuh tahun.

“Ini merupakan keputusan terbaik pernah Malaysia catat dalam Sukan Sekolah ASEAN di mana negara menduduki tempat ke-5 dalam edisi lepas di Vietnam,” jelas Bogomil.

Menurutnya, Malaysia berpeluang memenangi lebih banyak emas kerana Vietnam dan Brunei tidak menghantar penyertaan.

Esmelda turut terkejut dengan prestasinya sendiri kerana beliau tidak meletakkan sebarang harapan tinggi untuk memenangi emas pada penampilan sulungnya dalam kejohanan itu.

“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran kerana tidak mahu memberi tekanan terhadap diri sendiri. Mungkin ia menyebabkan saya dapat beraksi dengan baik kali ini.

“Apapun saya sangat gembira dan berbangga kerana dapat membantu mengharumkan negara,” ujarnya.

Kejayaan Esmelda turut dikongsi ayahnya, Alfred Geling yang melontarkan kredit kepada Bogomil kerana telah banyak membantu melatih anaknya dengan baik selama tujuh tahun.

Advertisement