Anda di sini

Wujud pusat penyelidikan sehenti tangani banjir: Pakar hidrologi

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang pakar hidrologi dan permodelan banjir mencadangkan agar pusat penyelidikan sehenti diwujudkan bagi menangani bencana banjir yang mengakibatkan kerugian berjuta-juta ringgit setiap tahun.

Prof Dr Ekhwan Toriman, yang juga Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Pembangunan), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa) berkata semua agensi berkaitan pengurusan banjir perlu melibatkan diri dalam penyelidikan itu agar dapat mengurangkan kesan dan implikasi bencana kepada negara.

“Banjir berlaku setiap tahun. Kita membelanjakan berjuta ringgit dalam bencana seperti ini…kenapa tidak ada satu pusat penyelidikan yang khusus dalam konteks kajian ini,” katanya pada sesi pembentangan Isu Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam Mitigasi Banjir pada Persidangan Kebangsaan Bencana Banjir ‘Realiti dan Tindakan’ di sini semalam.

Prof Ekhwan berkata setakat ini hanya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang terlibat dalam aktiviti penyelidikan berkaitan banjir.

Beliau turut mencadangkan penduduk yang mendiami kawasan berisiko banjir dan pemaju, diwajibkan membeli insurans agar dapat mengurangkan kerugian harta benda.

“Selain itu, JPS perlu diberi kuasa undang-undang bagi mengelak pencerobohan zon penampanan sungai.

“Saya melihat banjir dalam konteks teknikal sangat penting. Mereka perlukan sedikit kepakaran yang mereka boleh ramalkan, menilai dan klasifikasikan.”

“Secara kesimpulannya, saya melihat SOP banjir ini sudah lengkap, namun perlu diperkemas dan diperincikan. Saya yakin, dengan undang-undang yang sedia ada, kerjasama semua pihak akan dapat menangani masalah ini bersama-sama,” katanya.

Prof Ekhwan berkata faktor yang mendorong kejadian banjir termasuk perubahan iklim yang berlaku sama ada mikro atau makro, kawasan tidak diselenggara dengan teratur dan dipengaruhi aktiviti penerokaan.

“Contohnya kejadian di Cameron Highlands baru-baru ini, kebanyakan kawasan di tanah tinggi itu dijadikan petempatan warga asing sejak bertahun-tahun selain dijadikan kebun untuk perniagaan,” katanya.

Dalam kejadian di Cameron Highlands pada 5 Nov lepas, lima orang terkorban dan lima lagi cedera dalam kejadian banjir dan tanah runtuh.

Persidangan dua hari itu yang akan berakhir hari ini dihadiri pelbagai agensi berkaitan pengurusan banjir dan penguatkuasaan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Kastam Diraja Malaysia. — Bernama

Advertisement