Anda di sini

‘Rumah Kalis Banjir’ cegah kerosakan harta benda

Advertisement

KUALA LUMPUR: Syarikat atau agensi berkaitan projek perumahan di sesebuah kawasan yang berisiko banjir dicadangkan supaya membina ‘Rumah Kalis Banjir’.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia (Bahagian Pengurusan Banjir), Bibi Zarina Che Omar berkata Rumah Kalis Banjir itu didapatimampu menyelesaikan masalah kerosakan harta benda ketika berlakunya bencana alam berkenaan.

Katanya walaupun banjir tidak dapat dikawal namun kaedah itu dapat mengelakkan limpahan air daripada memasuki rumah, selain tidak perlu membawa keluar harta benda.

“Kaedah ini boleh diguna pakai kerana kita tidak mampu lagi untuk meluas dan mendalamkan sungai, selain memberi persediaan setiap kali berlakunya banjir,” katanya pada Persidangan Kebangsaan Bencana Banjir di sini, semalam.

Beliau berkata kaedah itu banyak diguna pakai di luar negara seperti Jerman dan Belanda sebagai persediaan menghadapi banjir serta berkesan dalam memastikan harta benda terus terpelihara.

Dalam perkembangan lain, Bibi Zarina berkata JPS memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar seperti di kawasan Sungai Batang Kali untuk dijadikan tempat takungan air memandangkan belum ada pembangunan yang meluas di kawasan itu.

“Kami sudah berbincang dengan Lembaga Urusan Air Selangor dan kini kami sedang membuat kajian terperinci selain mengambil kira faktor peruntukan bagi melaksanakan perkara itu,” katanya.

Persidangan dua hari anjuran Majlis Profesor Negara itu dihadiri 150 peserta termasuk jurutera, pembuat dasar, agensi kerajaan dan badan profesional akademik bagi membincangkan isu serta penyelesaian terhadap banjir. — Bernama

Advertisement