Anda di sini

Pemain pingpong remaja pertahan gelaran juara

Advertisement

TERBAIK: Christopher (kanan) dan Too menunjukkan pingat dimenangi mereka.

KUCHING: Pemain pingpong remaja Sarawak berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan Kejohanan Pingpong Harapan Milo Malaysia ke-27 di SM Pei Fong, Melaka dari 1-4 Disember lalu.

Skuad negeri merangkul tiga emas, dua perak dan enam gangsa bagi memastikan kejuaraan kekal milik Sarawak.

Dalam edisi yang disertai sebanyak 15 pasukan kebangsaan, Sarawak mengumpul 43 mata untuk menamatkan saingan di hadapan Kuala Lumpur yang meraih 39 mata.

Pemain dari Kuching Christopher Goh Hian Hui dan Too Ying Chuen membantu skuad bawah 13 tahun menjuarai kategori berpasukan dan beregu.

Goh menggondol dua emas dan satu perak manakala Too membawa pulang dua emas dan satu gangsa.

Emas lain disumbang menerusi acara berpasukan wanita bawah 13 tahun yang diwakili Karen Lyne Dick, Tay Lynn Jia, Elicia Tsai Xin Ni, Faustina Su Kwong Ai dan Foo Wui Ying.

Elicia Tsai bergandingan dengan Tay Lynn Jia untuk memenangi acara beregu wanita bawah 13 tahun manakala lima gangsa disumbangkan oleh Karen Lyne Dick (perseorangan wanita bawah 13 tahun), berpasukan lelaki dan wanita bawah 10 tahun, beregu lelaki dan wanita bawah 10 tahun.

Pencapain cemerlang itu meletakkan sembilan pemain Sarawak dalam senarai 10 pemain terbaik kejohanan. Mereka ialah Christopher Goh, Too Ying Yuen, Louis Chung Kian Fui, Karen, Tay, Tsai, Boon, Benjamin Thian dan Sia Hsiao Ling.

Pengurus pasukan merangkap jurulatih, Helena Wee melahirkan rasa gembira dengan pencapaian luar biasa skuad Sarawak kali ini.

“Cukup gembira setelah Sarawak berjaya mengekalkan kejuaraan. Pujian diberikan kepada Christopher dan Too berjaya membawa skuad ke peringkat separuh akhir dan final. Tuah nyata berpihak kepada kita setelah berjaya menundukkan Pulau Pinang dalam saingan akhir,” katanya.

Menurutnya, prestasi skuad perempuan tidak kurang hebatnya apabila secara keseluruhan skuad telah memberi persembahan terbaik dan kita berjaya memenangi dua daripada empat acara berpasukan dengan 28 mata.

Menyertai kontinjen negeri barisan jurulatih Chua Chiaw Lian, Yip Pau Cheng, Chai Kian Peng, Yu Ming Tao, Kong Tuong Sing dan Kueh Wan May.

Advertisement