Anda di sini

Lebih 9,000 banduan peroleh perintah parol sejak 2008

Advertisement

MELAKA: Sebanyak 9,390 banduan memperoleh perintah parol sejak sistem itu dilaksanakan di negara ini pada 2008, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 8,758 banduan dibebaskan setelah selesai menjalani parol; 454 banduan menjalani parol di luar penjara; 17 menjalani parol di penjara; dan enam menghilangkan diri setelah diberi perintah itu.

“Bagaimanapun 155 orang dibatalkan perintah parol mereka disebabkan perlanggaran syarat perintah parol,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Outreach anjuran Jabatan Penjara di Penjara Sungai Udang di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Ke-tua Pengarah Penjara (Ke-selamatan dan Koreksional) Datuk Hassan Sakimon serta Pengarah Parol dan Perkhidmatan Komuniti Jabatan Penjara Melaka Zalina Mohd Yunus.

Parol adalah sistem pelepasan seseorang banduan untuk menjalani mana-mana bahagian hukuman pemenjaraannya di luar penjara menurut peraturan yang ditetapkan sesuatu Perintah Parol.

Alwi berkata banduan yang layak dipertimbangkan untuk perintah parol ialah banduan yang tidak melibatkan hukuman berat seperti gantung sampai mati dan penjara seumur hidup serta kesalahan serius seperti melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan kesalahan seksual.

Beliau berkata kewujudan parol dapat membantu banduan menyesuaikan diri dengan masyarakat serta dapat memberikan keyakinan kepada mereka untuk menjalani kehidupan lebih baik selepas tamat tempoh pemulihan.

Zalina berkata 285 banduan di Melaka, memperoleh perintah parol sejak 2008.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, 278 banduan berjaya mematuhi perintah parol dan kembali ke pangkuan keluarga. — Bernama

 

Advertisement