Anda di sini

Kementerian Pendidikan perluas dan tambah baik program RIMUP

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan menambah baik dan memperluas program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) bagimemastikan aktiviti yang dirancang dapat dimanfaatkan semua murid sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan berkata penambahbaikan program itu juga akan dapat merealisasikan objektifnya dalam memupuk sahsiah dan perpaduan dalam kalangan murid daripada pelbagai kaum.

“Di bawah anjakan ketiga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, beberapa strategi turut dirangka untuk mewujudkan masyarakat harmonis dengan memupuk dan memperluaskan RIMUP ini mulai 2016,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk V.Subramaniam pada persidangan Dewan Negara semalam.

RIMUP diperkenalkan pada 1986 ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Menteri Pendidikan, bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan kaum di peringkat sekolah menerusi aktiviti bersama seperti sukan dan kokurikulum.

Program itu dilancarkan semula pada 2005, apabila Abdullah menjadi Perdana Menteri dengan peruntukan tahunan sebanyak RM25.8 juta.

Menjawab soalan asal Subramaniam mengenai pelajar matrikulasi, Kamalanathan berkata jumlah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memohon untuk memasuki matrikulasi adalah melebihi 100,000 orang setiap tahun.

“Sebagai contoh, pada 2010, kemasukan yang dicatat adalah sebanyak 104,770; 2011 (105,077); 2012 (111,757); 2013 (109,150) dan 2014 (108,531),” katanya. — Bernama

Advertisement