Anda di sini

Haram penyokong ‘buat kacau’

Advertisement

HARUS DIHENTIKAN: Penyokong membakar suar api pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki, Malaysia menentang Vietnam di Stadium Shah Alam di Shah Alam dalam gambar fail bertarikh 7 Disember 2014. — Gambar AFP

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyarankan dua langkah diambil bagi mengekang isu kekecohan oleh samseng bola sepak terutamanya dalam perlawanan penting.

Katanya langkah-langkah itu ialah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengharamkan penyokong yang mempunyai rekod kesalahan lampau daripada memasuki stadium dan pihak polis perlu tegas mengambil tindakan undang-undang terhadap golongan itu.

“Insiden seperti yang berlaku di Stadium Shah Alam, malam itu sudah banyak mencemar reputasi negara di peringkat Asia Tenggara. Malah menerusi beberapa komen di laman sosial, ada pihak yang membuat kesimpulan bahawa ini (budaya samseng) adalah budaya orang Malaysia padahal hanya segelintir sahaja.

“Kita perlu pulihkan semula maruah kita dan saya harap menerusi siasatan cepat dan rapi oleh pihak polis, kita dapat tunjuk kepada pihak Vietnam bahawa kita ambil serius perkara ini (masalah samseng bola sepak),” kata Khairy kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya, di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan liar segelintir penyokong Malaysia yang menyerang penyokong Vietnam berikutan kekalahan 2-1 skuad Harimau Malaya kepada Vietnam pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Shah Alam, malam Ahad lalu.

Khairy berkata, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim telah memaklumkan beliau bahawa polis akan mencari dan mendakwa mereka yang terbabit dalam serangan malam Ahad lalu.

“Saya tidak hendak buat sebarang kenyataan mendahului siasatan dan kita serah kepada pihak polis untuk buat segala siasatan dan kenal pasti identiti mereka,” kata beliau.

Khairy juga memaklumkan beliau telah menghubungi Duta Vietnam ke Malaysia, Pham Cao Phong bagi menjelaskan insiden itu dan memberikan jaminan siasatan segera akan dijalankan bagi mencari pelaku yang terlibat.

“Beliau (Pham) meluahkan rasa kecewanya mengenai insiden itu terutamanya tiada banyak bantuan diberikan kepada penyokong mereka yang cedera. Beliau mengharapkan ada tindakan pantas dan cepat berkenaan dengan siasatan (insiden).

Katanya Pham turut memberikan jaminan bahawa pihak keselamatan Vietnam akan memastikan tahap keselamatan terbaik kepada pemain dan penyokong Malaysia yang ke sana bagi aksi timbal balik, Khamis ini. — Bernama