Anda di sini

Piala AFF: Khairy minta maaf kepada penyokong Vietnam

Advertisement

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta maaf kepada penyokong Vietnam atas tindakan penyokong Malaysia mencederakan penyokong negara itu selepas Malaysia kalah 2-1 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 malam kelmarin.

Katanya beliau melihat sendiri insiden berkenaan di Stadium Shah Alam dan kesal atas tindakan liar penyokong Malaysia.

“Saya akan minta kerjasama polis untuk siasat kes ini dengan segera dan bertindak atas siasatan tersebut.

“Tindakan ganas segelintir penyokong Malaysia ini tidak mewakili rakyat Malaysia yang sebenar.

“Secara ikhlas, saya memohon maaf bagi pihak Malaysia atas tindakan ganas sebilangan kecil samseng yang tidak bertanggungjawab,” kata Khairy dalam laman facebooknya, semalam.

Beliau turut bimbang insiden berkenaan akan menjejaskan keselamatan penyokong skuad Harimau Malaya yang akan berkunjung ke Hanoi pada aksi separuh akhir kedua di negara berkenaan, Khamis ini.

“Bukankah tindakan mereka (penyokong Malaysia) ini boleh dianggap sebagai satu provokasi dan mengundang risiko keselamatan terhadap penyokong-penyokong Malaysia di Hanoi nanti?,” tegas Khairy.

Dalam pada itu, wakil penyokong Ultras Malaya, Lekir Ahmad turut membidas tindakan tidak bertanggungjawab itu dan meminta penyokong negara supaya menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka.

Beliau turut menegaskan bahawa penyokong Ultras Malaya tidak terlibat dalam insiden berkenaan kerana mereka berada pada kedudukan yang berbeza dengan penyokong lain pada perlawanan itu.

“Kami berada di bahagian papan markah yang terletak di sebelah kiri stadium manakala penyokong yang membuat kecoh di bahagian kanan stadium yang menempatkan penyokong Vietnam.

“Saya difahamkan, salah seorang penyokong tempatan telah mengasari penyokong wanita Vietnam dan saya lihat perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana terdapat beberapa kanak-kanak yang turut hadir menyaksikan perlawanan itu,” kata Lekir.

Beliau turut bimbang insiden berkenaan bakal menjejaskan keselamatan penyokong Ultras Malaya yang akan berkunjung ke Vietnam bagi memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya pada aksi timbal balik nanti. — Bernama

Advertisement