Anda di sini

Pasport Alvin Tan, Ali Abd Jalil ditarik balik

Advertisement

Surat makluman rasmi akan dihantar ke alamat terakhir mereka di Malaysia: Mustafa

PUTRAJAYA: Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) blogger kontroversi Alvin Tan dan aktivis politik Ali Abdul Jalil disenarai hitam dan ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Mustafa Ibrahim, yang mengumumkan perkara itu dalam sidang media di sini semalam, berkata surat makluman rasmi akan dihantar ke alamat terakhir mereka di Malaysia selain mewartakan penarikan balik pasport itu di akhbar-akhbar tempatan.

Beliau menjelaskan tindakan Tan dan Ali telah menyebabkan ketidakselesaan dari segi keselamatan di kalangan rakyat Malaysia.

“Tindakan ini (penarikan pasport) satu amaran kepada semua bahawa jabatan kami tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada mereka yang menghina mahkamah, Islam dan Raja-raja. Tindakan ini bukan hanya pada Tan dan Ali tetapi kepada semua,” katanya.

Penarikan pasport Tan dan Ali merupakan kes pertama dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia.

Alvin Tan atau nama sebenarnya, Tan Jye Yee melarikan diri ke Amerika Syarikat bagi mendapatkan perlindungan politik dan mengelak daripada ditahan pihak berkuasa di Malaysia atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan.

Pada 18 Julai 2013, Tan dan teman wanitanya, Vivian Lee, 25, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Akta Hasutan kerana mempersendakan agama Islam dan bulan Ramadan di laman Facebook.

Susulan itu, pada 22 Ogos lepas, mahkamah yang sama mengeluarkan waran tangkap selepas Tan gagal hadir bagi sebutan kesnya.

Tan baru-baru ini dipercayai memuat naik kenyata-an yang mempersendakan institusi beraja melalui Facebooknya yang mendakwa sultan tidak mempunyai kuasa untuk memberi dan menarik balik gelaran kebesaran daripada mana-mana pihak.

Ali pula melarikan diri ke Sweden bagi mendapatkan perlindungan politik. Ali berdepan tuduhan menghasut kerana menghina institusi Raja di negara ini melalui laman Facebooknya.

Mustafa berkata sekiranya Tan dan Ali yang kini berada di luar negara ingin pulang ke Malaysia, mereka perlu mendapatkan Sijil Perakuan Cemas (EC) di kedutaan Malaysia agar boleh kembali ke Malaysia secara sah.

EC adalah untuk sekali perjalanan serta perlu diserah balik, katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa memiliki PMA bukanlah suatu hak, sebaliknya hanya satu keistimewaan yang diberi kepada warganegara Malaysia untuk membolehkan mereka melakukan perjalanan ke luar negara.

“Pasport bukan diberi kepada semua orang sebaliknya ia hanya satu keistimewaan membolehkan rakyat Malaysia ke luar negara.

“Tertera dalam pasport bahawa pasport adalah hak milik kerajaan Malaysia dan ia boleh ditarik balik pada bila-bila masa,” katanya.

Mustafa berkata tanpa PMA, Tan dan Ali boleh dianggap pendatang asing tanpa izin, namun terpulang kepada negara berkenaan untuk mentakrifkan mereka.

“Mereka boleh ditahan di luar negara sebagai pendatang asing tanpa izin dan boleh dihantar balik ke Malaysia. Kami akan menerima mereka sebagai rakyat Malaysia ke-rana warganegara mereka tidak gugur,” katanya.

Mustafa berkata Tan dan Ali boleh membuat rayuan berhubung penarikan balik pasport antarabangsa mereka dan akan dipertimbangkan mengikut kes.

“Kalau mereka layak, kami boleh beri (balik pasport). Kalau tidak layak dan disena-raihitamkan, kami akan nyatakan,” katanya. — Bernama

Advertisement