Anda di sini

Najib garis empat fokus bagi 2015

Advertisement

Perlu diberi perhatian yang serius untuk hadapi cabaran tahun baharu

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menggariskan empat perkara yang perlu diberi perhatian serius dan fokus yang lebih oleh penjawat awam termasuk warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk menghadapi cabaran dan ancaman pada tahun 2015.

Keempat-empat perkara berkenaan ialah cabaran keamanan, keselamatan dan keharmonian, rasuah dan salah guna kuasa, solidariti nasional dan amalan budaya berprestasi tinggi.

Berucap pada perhimpunan bulanan JPM di Dataran Putra di sini semalam, Perdana Menteri menyifatkan keempat-empat perkara ini perlu diberi perhatian supaya Malaysia boleh mencatat kejayaan lebih cemerlang.

Pada perhimpunan bulanan yang terakhir bagi 2014 itu, Perdana Menteri meminta penjawat awam untuk merenung bentuk ancaman dan cabaran yang menanti sebelum melangkah ke 2015.

“Sudah tentu ketika ini amat wajar kita lihat kembali apa yang telah kita capai, prestasi kita dan apa yang boleh dilakukan pada 2015, lebih sempurna dari apa yang kita lakukan pada 2014.

“Secara umumnya banyak kejayaan positif dalam aspek mengurus ekonomi negara  sehingga kita dapat mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi negara pada 6.1 peratus pada sembilan bulan pertama tahun ini, pencapaian itu tertinggi dalam kalangan negara Asean,” kata Najib.

Kejayaan turut dicatatkan dalam pelaksanaan pelbagai program seperti Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan Strategi Lautan Biru dan kejayaan menduduki kerusi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Perhimpunan Bangsa Bersatu (UNSC), katanya.

Mengulas mengenai cabaran keamanan, keselamatan dan keharmonian, Najib berkata ancaman militan Islamic State (IS) begitu serius dan amat bahaya sehingga kerajaan memutuskan satu kertas putih dibentangkan di Parlimen berhubung perkara itu.

Katanya, 39 rakyat Malaysia terlibat dalam IS di Syria serta Iraq dan Malaysia turut menahan 40 warga Malaysia lagi.

Seorang warga Malaysia menjadi pengebom berani mati sehingga menyebabkan 25 orang askar Syria terbunuh, katanya.

Najib berkata terdapat kemungkinan seorang lagi rakyat Malaysia menjadi pengebom berani mati dengan menggunakan nama samaran.

“Ini saya  tidak sebut dalam Parlimen. Perbuatan pengebom berani mati tersebut lebih dahsyat dan telah menyebabkan 50 orang terbunuh. Ini semua  adalah ancaman serius,” katanya.

Perdana Menteri berkata kakitangan awam peringkat bawahan tidak terlepas daripada terpengaruh dengan ideologi IS dan mujurlah tindakan telah diambil bagi menanganinya.

Najib berkata, kerajaan mengambil keputusan membentang rang undang-undang khas dan pindaan rang undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada sesi akan datang supaya mempunyai kemampuan lebih ampuh untuk menghadapi ancaman itu.

Perdana Menteri berkata ancaman keamanan masih serius di Sabah iaitu di kawasan ESSZone (Zon Selamat Timur Sabah).

“Walaupun tiada kejadian sehari dua ini tapi bukan bererti keadaan itu bukan ancaman serius. Malah kita mengambil tindakan mengukuhkan kemampuan menghadapi keadaan di sana. Kita wajib mempertahankan bumi Sabah daripada sebarang bentuk ancaman,” katanya.

Najib berkata walaupun pencapaian Malaysia dalam ranking Indeks Persepsi Rasuah bertambah baik berada pada kedudukan ke-50 pada tahun ini daripada 175 negara berbanding tempat ke-53 tahun lepas, namun soal rasuah dan salah guna kuasa telah menjadi perhatian umum.

Mengenai solidariti nasional pula, Najib menyeru semua pihak supaya memberi perhatian kepada usaha memupuk perpaduan nasional dan solidariti.

“Walaupun proses itu memakan masa kita harus menunjukkan kematangan berasaskan kepada nilai saling hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Perdana Menteri turut memuji solidariti yang ditunjukkan rakyat Malaysia pada 22 Ogos ketika Hari Perkabungan Negara ekoran insiden tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

Mengenai budaya berprestasi tinggi, Perdana Menteri meminta penjawat awam untuk terus mengamalkan budaya prestasi tinggi dengan meningkatkan produktiviti dan inovasi. — Bernama

Advertisement