Anda di sini

Cabaran Rakit Air Jernih Baram mendekatkan rakyat

Advertisement

Oleh W. Bolly Ongie //

KE GARISAN: Para perakit menuju garisan permulaan dan bersedia untuk berlumba dari Long Aton hingga ke Long Luyang ketika Cabaran Rakit Air Jernih Baram 2014.

CABARAN Rakit Air Jernih Baram 2014 atau White Water Rafting Challenge 2014, yang diadakan di Tinjar, tahun ini menerima sambutan yang amat baik daripada peserta tempatan dan dari luar Baram, dengan 20 buah pasukan telah mengambil bahagian.

Perlumbaan tahun ini yang bermula dari Long Aton hingga ke Long Luyang merangkumi penjalanan sejauh 35 kilometer mengambil masa selama enam jam berakit di Sungai Tinjar.

Acara tersebut yang berjaya menarik ramai orang untuk membanjiri Long Aton, turut menyaksikan pelbagai atur cara yang diadakan seperti senamrobik, sukaneka dan perlawanan bola sepak.

Cabaran Rakit Air Jernih Baram 2014 itu telah dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Sosial, Pejabat Residen Miri dan disokong oleh beberapa agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah Marudi dengan acara melepaskan rakit telah disempurnakan oleh ADUN Telang Usan, Dennis  Ngau.

Dennis dalam ucapannya pada majlis pelancaran tersebut memberitahu objektif program ini dianjurkan ialah untuk memberi peluang kepada para peserta untuk merasai sendiri pengalaman dalam acara berakit tersebut, di samping menikmati keindahan alam sekitar di sepanjang Sungai Tinjar dan Sungai Baram.

Pada   masa     yang sama ia adalah platform bagi para peserta dan rakyat tempatan mendekatkan pergaulan sesama mereka, khususnya dengan pelbagai kumpulan etnik, selaras dengan konsep 1Malaysia.

Dennis menambah kata, acara ini juga untuk mempromosikan pembangunan dari kuantiti fizikal serta mempromosikan konsep Sarawak Cergas.

Sementara itu, Dennis mahu penduduk di Long Aton agar terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya mereka tidak ketinggalan dalam menikmati dan berkongsi pembangunan daripada bajet yang diperolehi yang diumumkan oleh Ketua Menteri semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, yang memperuntukkan sejumlah RM4.9 bilion dan 30 peratus untuk menampung perbelanjaan, 70 peratus untuk pembangunan dan lebih 50 peratus ialah peruntukan untuk projek pembangunan luar bandar.

Katanya, kawasan Telang Usan pula telah menerima pelbagai projek dan masih banyak lagi bantuan dari kerajaan pusat dan kerajaan negeri khususnya untuk membangunkan luar bandar negeri ini termasuk daerah Baram.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Robert Laing Anyie, Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pembangunan Sosial Mering Wan, Pengarah Majlis Sukan Negeri Lucas Kalang serta Ketua Masyarakat Kaum Kenyah Temenggung Joseph Ngau Lian dan Penghulu Joseph Belulok.

UNTUKMU: Mering (lima kanan) menyampaikan cenderahati kepada Dennis (empat kiri) sambil disaksikan tetamu yang lain.

BERSEDIA: Dennis (depan, dua kiri) melepaskan para peserta Cabaran Rakit Air Jernih Baram 2014 di Sungai Tinjar baru-baru ini.

Advertisement