Anda di sini

Taman Burung KL perlu perubahan

Advertisement

Terkenal ‘Sangkar Terbang Bebas Terbesar di Dunia’ kini boleh dikira dengan jari

KUALA LUMPUR: Taman Burung Kuala Lumpur (KL) yang sebelum ini terkenal sebagai ikon pelancongan negara dengan koleksi ribuan variasi spesies burung kini semakim suram berikutan jumlah burung peliharaan semakin berkurangan.

Taman burung yang terkenal sebagai ‘Sangkar Terbang Bebas Terbesar di Dunia’ yang pernah menempatkan lebih kurang 3,000 ekor burung daripada 200 spesies termasuk 25 Burung Enggang pada 12 tahun lepas, kini hanya boleh dikira dengan jari.

Destinasi pelancongan yang terletak di kawasan Taman Tasik Perdana di sini kini bukan lagi tarikan pelancong tempatan mahupun asing, berikutan situasi seolah-olah tidak bermaya, sekali gus mengecewakan pelancong.

Pelancong tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Fazli, 32, berasa hampa apabila mendapati jumlah burung di taman tersebut tidak seperti yang diwar-warkan dalam risalah.

“Taman burung ini akan lebih menarik jika pihak pengurusan menjaga dan menempatkan lebih banyak burung tempatan serta menambah variasi atau spesies burung,” katanya ketika ditemui Bernama di taman burung itu di sini, semalam.

Ikon pelancongan negara yang seluas 8.36 hektar itu harus dibaiki secepat mungkin bagi mengembalikan kualiti serta menarik pelancong.

“Taman burung ini begitu besar dan bagus. Malangnya pelbagai jenis burung begitu sedikit dan terdapat beberapa tempat masih dalam penyelenggaraan,” kata pelancong Iceland, Mardin Swin.

Sementara itu, petugas taman itu yang tidak mahu dikenali berkata, kebanyakan burung mati akibat sikap pelawat yang memberikan makanan yang tidak boleh dihadam oleh segelintir burung.

Selain bilangan spesies burung, harga tiket kemasukan bagi taman itu turut mengundang tidak puas hati segelintir pelancong.

Muhammad Sharul,35 yang merupakan seorang jurutera berkata, harga tiket masuk bagi warganegara tempatan harus dikurangkan bagi menambah bilangan pelancong dalam negara.

“Bukan hanya harga tiket, malah harga makanan dan minuman yang dijual di sekitar dan dalam taman burung itu juga sangat mahal sehingga sebotol air mineral dijual RM4,” dakwanya.

Harga tiket masuk ditetapkan RM25 bagi dewasa dan RM12 bagi kanak-kanak manakala RM48 bagi warganegara asing (dewasa) dan RM38 bagi kanak-kanak warganegara asing.

Tinjauan Bernama mendapati nasib yang sama turut menimpa Taman Rama Rama KL di Taman Tasik Perdana, yang kurang menarik perhatian kerana bilangan pelancong agak sedikit walaupun pada hujung minggu apatah lagi musim cuti sekolah.

Anandhi Sivarajan, 28, berkata taman rama-rama yang mempunyai lebih 5,000 rama-rama, tumbuhan eksotik dan paku-pakis kurang menarik kerana sangat sempit dan kurang selesa.

Anandhi, yang berasal dari Tamil Nadu, India, berpendapat harga tiket masuk ke taman itu juga tidak relevan.

Taman itu juga menempatkan sebuah muzium serangga dan sebuah kedai cenderamata.

Bagaimanapun, Bernama gagal mendapatkan reaksi daripada pihak pengurusan kedua-dua taman tersebut. — Bernama

Advertisement