Anda di sini

Malaysia sasar lebih 100,000 pelancong antarabangsa tahun depan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Acara Utama Malaysia (MME), sebuah unit khas dalam Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) dan agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, menyasar untuk menarik lebih 100,000 pelancong antarabangsa melawat negara ini melalui pelbagai acara yang dijadual diadakan tahun depan.

Pengurus Besarnya Tony Nagamaiah berkata beliau yakin jumlah berkenaan boleh dicapai berikutan banyak peristiwa utama yang menarik seperti konsert antarabangsa, acara sukan dan muzik serta perayaan yang akan diadakan sempena Tahun Festival Malaysia (MyFest) 2015.

“Tahun ini, kami terlibat dalam lebih 50 acara dan membawa kira-kira 100,000 pelancong antarabangsa manakala bagi tahun depan, kami telah memperoleh 60 acara dan sasaran kami ialah menarik lebih 100,000 orang,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini kelmarin.

Beliau berkata beberapa acara menarik telah disenaraikan untuk tahun depan termasuk ‘Thriller Live!’, sebuah muzikal ekstravaganza khas dari West End London, yang hanya dipersembahkan di Malaysia pada Mac, bertempat di Stadium Tertutup Putra Bukit Jalil, di sini.

Acara ini dijangka menarik lebih 10,000 pelancong, terutama peminat tegar Michael Jackson dan menjana lebih RM50 juta pendapatan.

“Selain itu, kita akan menjadi tuan rumah mesyuarat Majlis Olimpik Antarabangsa dengan semua presiden persekutuan akan berkumpul (dalam mesyuarat ini). Kami juga merancang persembahan seperti ‘Cold Play’ dan ‘Foo Fighters’,” katanya.

Nagamaiah berkata MME yang ditubuhkan pada 2011, bertujuan meletakkan Malaysia pada peta dunia sebagai destinasi pilihan bagi acara yang boleh memberi impak terhadap penjanaan ekonomi negara.

“Kami mahu mempamerkan Malaysia sebagai negara yang penuh dengan keseronokan, hiburan dan mengalu-alukan sebanyak mungkin pelancong untuk melihat apa yang negara ini tawarkan dari segi produk pelancongan dan pembangunan.

“Ini akan turut memberi kesan ekonomi dengan bilik-bilik hotel, syarikat penerbangan dan pemandu teksi akan penuh ditempah dan ejen pelancongan memperoleh keuntungan,” katanya menambah semua ini akan memberi pulangan ke atas pelaburan (ROI) dengan segera.

Nagamaiah berkata agensi berkenaan menyediakan platform untuk dikongsi orang ramai dengan sektor swasta serta bertindak sebagai penghubung penting dalam memudah dan mempromosikan penganjuran acara utama.

“Kami tidak menganjurkan acara, tetapi kita bekerjasama dengan penganjur tempatan. Jika mereka mempunyai idea, mereka akan datang, berkongsi dengan kami dan memberi cadangan dan kita akan menilai idea. Jika cadangan itu cukup baik dan memberi impak ekonomi serta pelancongan, kita akan bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata agensi itu akan menyediakan dana permulaan kepada penganjur tempatan antara RM500,000 dan RM3 juta bergantung kepada cadangan mereka untuk memulakan projek.

“Namun, mereka masih perlu mencari penaja lain dan mengaut keuntungan daripada jualan tiket dan bayaran penyertaanan agar mereka dapat menjalankan acara yang berjaya dan menguntungkan,” katanya.

Selain acara antarabangsa, beliau berkata, MME juga terlibat dalam acara yang dianjurkan dalam negara sama ada oleh organisasi tempatan atau antarabangsa. — Bernama

Advertisement