Anda di sini

Filipina, Thailand terikat 0-0

Advertisement

KUALA LUMPUR: Filipina gagal menggunakan kelebihan beraksi di halaman sendiri selepas terikat seri tanpa jaringan dengan Thailand pada perlawanan separuh akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Memorial Rizal, Manila malam kelmarin.

Thailand bermula garang dengan menguasai babak pertama perlawanan namun gagal untuk membolosi benteng pertahanan Filipina.

Bagaimanapun, Filipina dengan nama jolokan ‘Azkals’, mempunyai dua peluang keemasan pada minit ke-54 dan 71 tetapi percubaan penyerang berbisa Phil Younghusband pada kedua-dua situasi itu diselamatkan oleh penjaga gol Thailand, Kawin Thamsatchanan.

Thailand terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Adisak Kraisorn dikenakan kad merah pada minit ke-61 selepas mengasari pemain pertahanan Filipina, Amani Aguinaldo.

Perlawanan timbal balik akan diadakan di Stadium Rajamangala Bangkok, Thailand pada Rabu ini.

Dalam satu lagi saingan separuh akhir pertama, Malaysia berdepan dengan Vietnam di Stadium Shah Alam, Selangor malam tadi. — Bernama

Advertisement