Anda di sini

Elak mandi di kawasan air terjun

Advertisement

Ekoran peningkatan kes jangkitan kencing tikus yang membawa maut

ALOR SETAR: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mandi di kawasan air terjun di Kedah buat sementara ini berikutan peningkatan kes jangkitan kencing tikus yang boleh menyebabkan maut.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan Kedah Datuk Dr Leong Yong Kong berkata kes jangkitan kencing tikus atau leptospirosis semakin banyak dikesan di kalangan mereka yang pernah mengunjungi kawasan air terjun.

“Buat masa sekarang, saya nasihatkan orang ramai supaya elakkan daripada mandi di kawasan air terjun.

“Jika hendak mandi, mereka boleh ke hotel-hotel yang menyediakan kolam renang yang kebersihan sentiasa dipantau,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Dr Leong berkata kes ini semakin menjadi sejak tiga tahun kebelakangan ini dan banyak aspek yang boleh menjadi penyumbang kepada perkara ini.

“Sejak kebelakangan ini sering berlaku hujan lebat dan banjir kilat jadi kita tidak tahu bahan apa yang telah mencemari air itu dan keadaan cuaca ini boleh menjadi salah satu punca kepada penyebaran virus kencing tikus,” katanya.

Beliau berkata jumlah pengunjung ke kawasan air terjun semakin bertambah dan ini sekali gus telah menyebabkan jumlah sampah (sisa makanan) yang dibuang semakin bertambah, yang menjadi punca kehadiran semakin banyak tikus.

“Binatang-binatang seperti tikus yang sebelum ini mencari makan di dalam hutan akan keluar untuk mencari sisa-sisa makanan yang ditinggalkan pengunjung,” kata beliau.

Katanya masalah berkaitan tikus ini tidak dapat dielakkan dan ini boleh dilihat pada jumlah tikus yang berkeliaran di kawasan-kawasan medan selera.

Beliau berkata virus kencing tikus ini akan menjadi cabaran besar kepada negeri Kedah.

Perbincangan akan dijalankan bersama Jabatan Kesihatan dan Jabatan Perhutanan bagi menangani masalah ini, kata Dr Leong.

Dua hari lepas, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dari Taman Pinang Merah, Bukit Pinang dekat sini, Amirah Maisarah Zir Omar Khan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), disyaki akibat jangkitan kencing tikus.

Difahamkan kanak-kanak itu dan dua adik perempuannya serta ibu bapa mereka telah pergi ke sebuah pusat rekreasi air di Yan untuk mandi-manda.

Adik mangsa, Nur Syazana, 5, disahkan positif jangkitan kencing tikus oleh sebuah pusat perubatan swasta dan masih dirawat di HSB manakala seorang lagi adiknya, Zaharah Alisa, 3, dan ibu mereka Siti Zaleha Ramlan, 32, mengalami demam.

Sementara itu, sampel darah Amirah Maisarah dihantar ke makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kuala Lumpur untuk dibuat ujian pengesahan jangkitan leptospirosis.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata keputusan ujian pengesahan itu akan diketahui dalam tempoh seminggu.

Katanya, dua lagi adik mangsa, Nur Syazana, 5, dan Zaharah Alisa, 3, masih dirawat di HSB kerana mengalami simptom demam yang sama seperti arwah kakak mereka.

“Adik mangsa yang berusia lima tahun yang mengadu demam, batuk, selesema dan muntah kini dirawat di wad kanak-kanak HSB dan berada dalam keadaan stabil setelah diberi rawatan antibiotik,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, ujian darah Nur Syazana yang sebelum ini disahkan positif jangkitan kencing tikus oleh sebuah pusat perubatan swasta adalah ‘inconclusive’ dan telah dihantar ke IMR untuk pengesahan.

“Adik mangsa yang berusia tiga tahun juga sedang dirawat di hospital yang sama kerana mengalami demam panas dan rawatan antibiotik telah mula diberikan.

“Ujian awal menunjukkan Zaharah Alisa dijangkiti leptospirosis dan sampel darah turut dihantar ke IMR untuk ujian pengesahan”. — Bernama

Advertisement