JOHOR BAHARU: Malaysia mahu mencabar dominasi Thailand pada Kejohanan Trofi Persekutuan Bola Baling Antarabangsa (IHF) Zon Asia 1B, bermula di Kompleks Sukan Educity, Nusajaya, di sini Isnin ini.
Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia (PBBM), Pandak Ahmad berkata pasukan negara yang melibatkan kombinasi muka lama dan muka baharu itu dijangka mampu memberikan cabaran hebat kepada juara bertahan itu.
“Kali ini kita serius. Kita harap salah satu pasukan kita (sama ada lelaki atau wanita) menjadi johan di peringkat Zon Asia 1B,” katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata sejak kejohanan itu mula diadakan pada 2010, Thailand telah menjadi juara Zon Asia 1B dan kekal menjadi pasukan pilihan bagi kejohanan kali ini.
Katanya Kejohanan SEAF tahun lepas, Thailand mengalahkan pasukan lelaki negara 33-28 mata.
Buat masa ini, skuad negara menjalani latihan intensif di Kompleks Sukan Air dan Udara di Desaru sejak sebulan lepas.
Kejohanan lima hari itu melibatkan enam negara iaitu Malaysia, selaku tuan rumah, Thailand, Brunei, Indonesia, Filipina dan Singapura.
Pandak berkata kejohanan itu akan menjadi tanda aras bagi melihat kemampuan skuad negara menjelang Sukan SEA Singapura tahun depan. — Bernama