Anda di sini

Anggota MALBATT meninggal dunia ketika sertai misi UNIFIL

Advertisement

TINGGAL KENANGAN: Azman (kiri) bergambar bersama rakan-rakannya ketika bertugas dalam misi UNIFIL di Lubnan yang dilaporkan meninggal dunia pada 6 Dis lalu. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Malaysian Battalion 850-2 (MALBATT 850-2), Kopral Azman Che Soh yang bertugas dalam misi Pasukan Pengaman Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan, meninggal dunia kelmarin setelah tidak sedarkan diri secara tiba-tiba.

Pegawai Bahagian Hal Ehwal Awam Markas Angkatan Bersama (MKAB), Leftanan Kolonel Salawati Yahaya berkata, Azman meninggal dunia kira-kira jam 10.45 pagi waktu tempatan (4.45 petang waktu Malaysia).

Katanya, ketika Azman sedang bertugas di Kem UNP 2-1, Kem Marakah Lubnan, beliau didapati tidak sedarkan diri secara tiba-tiba dan dibawa untuk rawatan awal di Hospital Level 1, MALBATT oleh pegawai perubatan, Kapten Dr. Mohd Hamzi Mohd Yatim.

“Memandangkan anggota (Azman) masih tidak sedarkan diri, beliau telah dirujuk ke Hospital Level 2, Naquora dan dirawat oleh pakar perubatan hospital itu dan pada jam 10.45 pagi waktu tempatan, beliau disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Salawati berkata punca kematian Azman belum dapat dipastikan dan ‘post-mortem’ akan dilakukan pada 8 Disember ini di Hospital Hariri, Beirut, Lubnan.

“Sehingga kini, maklumat mengenai tarikh ketibaan jenazah ke Malaysia belum dapat dipastikan dan segala urusan jenazah Allahyarham akan diuruskan oleh pihak UNIFIL bersama MALBATT 850-2.

“Majlis penghormatan jenazah Allahyarham (Azman) dijangka akan diadakan di Pangkalan TUDM Subang dan akan diterbangkan ke Kota Baharu, Kelantan bagi urusan pengebumian,” katanya.

Azman, 34, berasal dari Kg Pelunggol, Melor, Kota Baharu, bertugas di Rejimen 11 Gerakhas, Kem Sungai Udang, Melaka sebelum menyertai misi UNIFIL.

Beliau meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak iaitu dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki, masing-masing berumur 7 tahun, 4 serta 3 tahun. — Bernama

Advertisement