Anda di sini

15 warga Myanmar daripada 17 lelaki yang ditahan pemegang kad UNHCR

Advertisement

BUKIT MERTAJAM: Lima belas daripada 17 lelaki Myanmar yang ditahan sejak dua minggu lepas bagi membantu siasatan beberapa kes bunuh dan kerat rakyat negara itu di Pulau Pinang adalah pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR), kata polis.

Malah, dua daripada mereka yang ditahan dalam Ops Kelar itu baru sahaja memasuki negara ini secara haram melalui sempadan Malaysia-Thailand dan dikatakan baru memohon kad UNHCR.

“Berdasarkan siasatan, 15 pemegang kad UNHCR itu telah menetap di negara ini sejak 10 hingga 14 tahun lepas dan ada antara mereka adalah kontraktor binaan serta menggaji rakan senegara mereka.

“Kebanyakan mereka dipercayai masuk ke negara ini secara haram menerusi sempadan negara sebelum memohon kad UNHCR dan selepas keadaan stabil di sini mereka akan membawa anggota keluarga tinggal bersama,” kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang ACP P.R.Gunarajan kepada Bernama di sini semalam.

Kes pembunuhan melibatkan rakyat negara itu mendapat perhatian apabila kumpulan rakyat Myanmar terbabit mula memotong anggota badan mangsa mereka dan membuangnya di beberapa tempat di Nibong Tebal dan Bukit Mertajam termasuk berhampiran balai polis Machang Bubok, di sini.

Sejak awal tahun ini, 18 kes pembunuhan rakyat Myanmar dilapor di Pulau Pinang dan pada peringkat awal, mayat dibungkus dengan kain putih seperti dikafan dan ditinggalkan di tepi-tepi jalan. Bagaimanapun sejak bulan lepas kumpulan terbabit mula memotong anggota badan mangsa.

Awal pagi Jumaat lepas, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Pisang, Machang Bubuk di sini yang dipercayai dijadikan tempat kumpulan terbabit memotong badan mangsa mereka.

Sementara itu sumber berkata 17 lelaki Myanmar yang ditahan itu masuk ke negara ini secara haram dan menubuhkan satu kumpulan yang mempunyai ideologi sama serta mempunyai semangat kekeluargaan yang tinggi.

Beliau berkata anggota kumpulan itu bukan sahaja di Pulau Pinang malah di beberapa negeri lain. Mereka berpusat di Selayang, Selangor serta sangat akrab antara satu sama lain dan saling membantu terutama jika ada anggota mereka menghadapi masalah.

“Berdasarkan maklumat, 17 lelaki yang ditahan itu berasal dari daerah yang sama di Myanmar dan mangsa mereka juga dari kawasan yang sama serta mengenali antara satu sama lain,” kata sumber itu.

Beliau berkata konflik atau dendam di negara asal adalah motif utama berlakunya kejadian bunuh membabitkan rakyat Myanmar di Pulau Pinang.

“Mereka (suspek) memang rapat dengan keluarga di Myanmar dan setiap perkembangan di sana akan dimaklumkan kepada mereka di Malaysia…sebab itu jika ada saudara mereka diserang atau dibunuh di sana, mereka di sini (Malaysia) akan menyerang anggota keluarga yang terlibat dalam pergaduhan itu.

“Kumpulan itu bukan mencari (mangsa) untuk membunuh sebaliknya hanya menyerang mereka yang mempunyai kaitan dalam pergaduhan dengan anggota keluarga suspek di Myanmar. Ia adalah untuk membalas dendam,” katanya. — Bernama

Advertisement