Anda di sini

Pertahankan budaya tradisional Orang Ulu

Advertisement

Oleh W. Bolly Ongie //

MERIAH: Dennis (tiga kiri) bersama tetamu kehormat yang lain hadir menyaksikan majlis Baram Sape Master baru-baru ini.

MASYARAKAT Orang Ulu yang terdiri daripada pelbagai etnik turut memiliki kekayaan dalam adat tradisi dan tarian tradisional mereka termasuk muzik tradisional yang perlu dikekalkan oleh setiap lapisan generasi dalam masyarakat tersebut.

Golongan muda Orang Ulu pula perlu mengambil peluang untuk mempelajari warisan berkenaan daripada generasi tua, yang masih gigih mengajar dan melatih generasi muda untuk menggantikan langkah mereka dalam adat mainan tradisional.

“Hanya dengan demikian maka budaya tradisional kita tidak mudah dilupakan oleh generasi muda dan akan terus berkekalan,” kata Ketua Masyarakat Kayan Baram, Penghulu Ajang Wan.

Malah Ajang menyifatkan muzik tradisional seperti tabahan sape (atau sambe dalam bahasa Kayan) sesuatu yang cukup unik dan istimewa dan harus dimainkan pada setiap keramaian di rumah panjang suku kaum Orang Ulu di Baram.

“Masyarakat kami (Orang Ulu) masih kaya dengan budaya tradisional dan setiap satunya perlu dikekalkan dan dipelajari oleh setiap generasi Orang Ulu itu sendiri agar keasliannya terus terpelihara dan berkekalan,” tambah beliau ketika ditemui Utusan Borneo sempena majlis Baram Sape Master yang diadakan di Dewan Masyarakat Long Lama di pekan Long Lama, baru-baru ini.

Majlis pembukaan rasmi Baram Sape Master tersebut telah disempurnakan oleh ADUN Telang Usan Dennis Ngau manakala majlis penutupan rasminya dilakukan oleh Senator Datuk Lihan Jok yang mewakili Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau.

Ajang menambah, selain muzik tradisional sape, muzik tradisional lain Orang Ulu yang cukup unik dan menarik ialah seperti Jatung Lutang iaitu sejenis irama tradisi yang dihasilkan melalui paluan gong yang berlainan bunyi.

Selain itu juga tarian tradisional seperti ajat panjang dan perseorangan, Datun Julut, antara budaya tradisi yang cukup terkenal daripada Orang Ulu dan ia biasanya ditarikan oleh masyarakat kaum Kenyah dengan diiringi nyanyian tradisional mereka yang dikenali sebagai ‘Leling’ yang cukup menarik khususnya bagi mereka yang memahami dialek Kenyah.

Sehubungan itu, Ajang memohon agar generasi baharu Orang Ulu jangan malu belajar dan memainkan muzik, tarian serta lagu tradisional dan sebagainya yang melambangkan bangsa dan etnik mereka.

Advertisement