KUCHING: Kejayaan atlet pekak Sarawak pada Kejohanan SOPMA (Sukan Orang Pekak Malaysia) Ke-18 di Melaka pada 13-20 Jun lalu dihargai pada majlis Malam Anugerah Sukan Orang Pekak Sarawak di Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Sarawak kelmarin.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah berkata penganugerahan itu bertujuan menghargai sumbangan atlet orang pekak Sarawak dalam mengharungi pelbagai rintangan semasa menyertai kejohanan tersebut.
“Ini merupakan jalan terbaik untuk orang kelainan upaya (OKU) memajukan diri. Mereka yang normal perlu memahami dan memastikan golongan tidak bernasib baik ini mendapat hak dan peluang yang sama rata dengan mereka yang lain.
“Kita perlu berusaha dengan lebih gigih dengan tidak hanya menyatakan rasa kasihan terhadap golongan ini. Sebaliknya kita perlu memberi mereka peluang seperti pendidikan, kesihatan, penyertaan dalam bidang sukan, rekreasi dan sebagainya,” kata Fatimah pada majlis dianjurkan Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKM) dan JBS kelmarin.
Atlet Sarawak berjaya membawa pulang dua emas, lima perak dan dua gangsa pada kejohanan tersebut.
Pada majlis sama, Fatimah turut menyampaikan insentif kepada atlet yang memenangi pingat dan pemenang pingat emas menerima RM500, manakala perak RM300 dan gangsa RM200.
Insentif tersebut merupakan sebahagian daripada geran sumbangan JKM berjumlah keseluruhan RM5,000.
Atlet yang mencatat prestasi cemerlang turut dikejutkan dengan penghargaan istimewa dari kerajaan negeri pada malam tersebut.
Antara yang menerima penghormatan Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak, Albert Wong yang menerima Anugerah Kepimpinan Sukan Orang Pekak dan Lily Then Lay Tee dengan anugerah Ikon Pembangunan Sukan Orang Pekak.
Sarawak akan menjadi tuan rumah SOPMA pada 2016.
Turut hadir Pengarah JKM Sarawak Abang Shamsudin Abang Seruji, Penolong Pengarah JBS, Ronnie Boniface Nugi dan Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia, Kamarzaman Harun.