Anda di sini

Jelajah Asia Tenggara: Kayuhan ‘Pak Wan’ berjalan lancar

Advertisement

KOTA BAHARU: Misi penjelajahan pengayuh basikal solo warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood ke lima buah negara di Asia Tenggara, berjalan lancar dan kini hampir tiba di Phnom Penh, Kemboja.

Memasuki kayuhan hari ketiga hari ini, Wan Hashim, 69, yang ditemani bekas pengayuh yang pernah menjelajah dunia pada 2011, Abdul Khalib Zakaria, 44, berkata sejak memulakan kayuhan di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam pada Khamis lepas, mereka gembira kerana diberi sambutan baik oleh penduduk setempat.

“Alhamdulillah ada yang bertepuk tangan dan memberi isyarat bagus kepada kami dan ini memberi semangat kepada kami,” kata Wan Hashim melalui aplikasi WhatsApp kepada Bernama semalam.

Wan Hashim berkata mereka akan bermalam di Phnom Penh hari ini (semalam) dan akan meneruskan kayuhan awal pagi esok.

Pada Khamis lepas, mereka dilepaskan dalam satu majlis ringkas oleh Konsul Jeneral Malaysia di Vietnam, Shazryll Zahiran.

Wan Hashim berkata ketika tiba di wilayah Bowat, Kemboja kelmarin, mereka bertemu seorang penduduk tempatan yang pernah belajar di sebuah pondok agama di Pasir Tumboh di sini.

“Lelaki itu membelikan kami nasi setelah dua hari tidak menemui kedai masakan halal dalam perjalanan dan Alhamdulillah semalam (kelmarin) baru dapat menjamah nasi,” katanya.

Beliau berkata sebelum itu mereka hanya minum air tebu, air kelapa dan air mineral ketika dalam perjalanan dan memakan kurma yang dibawa dari Malaysia.

Wan Hashim kini dalam misi penjelajahan ke lima negara iaitu Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura dan Indonesia membabitkan perjalanan sejauh 6,000 kilometer.

Perjalanan itu dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan.

Beliau sebelum ini, telah menjelajah secara solo ke seluruh Semenanjung selama 28 hari pada Februari lepas dan kejayaannya dicatat dalam Malaysia Book of Records bagi kategori ‘Pengayuh Basikal Tertua Mengelilingi Semenanjung Malaysia’ pada April lepas.

Abdul Khalib pula pernah berbasikal mengelilingi dunia bersama seorang rakan dalam Misi Berbasikal Mengelilingi Dunia Kedua pada 2011. — Bernama