KUCHING: Penyertaan kali kedua buat Ahmad Faizal Abdul Rahman dalam bidang bina raga ternyata tidak mengecewakan apabila beliau dinobatkan sebagai pemenang Mr Senso Perfect Fit 2014.
Mewakili Mr Muscle Fitness Gym, jejaka tegap berumur 28 tahun itu berjaya mengatasi 13 finalis lain dalam merebut hadiah utama berupa wang tunai RM300, penginapan percuma di Hotel Hilton Kuching, pakej minuman protein daripada Kuching Supplements dan piala kejuaraan.
Naib juara dimenangi Mohd Affizan Abdullah, diikuti Muliadi Panot di tempat ketiga, Jury Amrullah Ibrahim menduduki tempat keempat dan Almirul Jemali di tempat kelima.
Setiap seorang daripada lima peserta terbaik menerima hadiah sumbangan Kuching Supplements serta beberapa penaja bersama seperti CS Mini Market and Guinness Anchor Bhd.
Kejuaraan julung-julung kali itu dianjurkan bersama Mr Muscle Fitness Gym dan Senso Bar & Lounge di Hotel Hilton Kuching dengan sokongan Persatuan Bina Badan Negeri Sarawak (SBBA).
Hadiah disampaikan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Abang Julai, Presiden SBBA Datuk Wee Hong Seng serta pengasas dan pengarah Kuching Supplements, Mohd Ghaddafie Zamani.
Dalam ucapannya, Ghaddafie melihat semakin ramai bakat muda tempatan menunjukkan minat dalam arena ini seiring dengan perkembangan industri sukan bina raga merangkumi bina badan, seni kecergasan fizikal (fitness) dan estetika tubuh (body aesthetics).
Malah, ada yang mula memberanikan diri menyertai kejohanan- kejohanan seumpama Mr Senso Perfect Fit ini sebagai langkah pertama beraksi di atas pentas.
“Ini merupakan satu perkembangan yang sihat dan positif. Maknanya, Sarawak tidak kalah apabila sebut sahaja sukan bina badan.
“Walaupun pertandingan ini lebih menjurus ke arah ‘fitness’ saya percaya ia merupakan satu pelantar terbaik bagi mereka yang ingin menceburi sukan bina badan secara lebih serius.
Justeru itu, ia juga satu lapangan sesuai bagi Sarawak mengenal pasti bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” ujar beliau.
Sebagai pembekal makanan kesihatan dan peralatan sukan, Ghaddafie berkata Kuching Supplements sentiasa menyokong apa juga bidang sukan melalui penajaan.
“Kali ini, kami ingin melangkah lebih jauh dengan menaja pasukan bina badan Sarawak untuk bertanding pada kejuaraan bina badan Mr Borneo 2014, yang akan berlangsung di Kota Belut, Sabah pada 20 Disember ini.
“Mungkin sekali pandang, ramai menyangka bahawa Kuching Supplements hanya menaja atlet-atlet bina badan. Sebenarnya, kami juga sering membantu ahli-ahli sukan lain seperti muaythai, seni bela diri campuran (mixed martial arts) dan lumba basikal. Ini adalah satu cara kami menyumbang kembali kepada perkembangan sukan di Sarawak,” katanya.