Anda di sini

Alberts cari formula terbaik di Thailand

Advertisement

KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts akan menggunakan empat aksi pemanas badan di Thailand untuk mencari formula bagi skuad serba baharunya.

Menurutnya, ketika ini beliau masih belum mempunyai bayangan kesebelasan utama skuad Sarawak dan hanya akan membuat keputusan sekembali dari negara Gajah Putih itu nanti.

“Empat perlawanan di Thailand sangat penting bagi saya merancang strategi selain menilai keupayaan pemain-pemain sebelum menetapkan kesebelasan utama.

“Saya cukup berpuas hati dengan keputusan tiga aksi persahabatan menentang pilihan Miri, Limbang dan Sabah namun ia sekadar aksi pendedahan terutama bagi pemain baharu. Skuad ini perlu melalui ujian yang lebih besar untuk menilai keupayaan sebenar mereka,” katanya.

Sarawak akan mengadakan empat perlawanan persahabatan menentang kelab di Thailand iaitu Krabi FC (14 Disember), Suphanburi FC (17 Disember), Royal Thai (19 Disember) dan Thai Police (21 Disember).

Dalam nada berbeza, Alberts percaya gandingan Billy Mehmet dan Ryan Griffiths di jentera serangan bakal menjadi senjata ampuh Sarawak pada musim depan.

“Setelah melihat aksi kedua pemain ini semasa perlawanan persahabatan sebelum ini, saya percaya mereka bakal menjadi senjata yang digeruni pihak lawan.

“Kedua-duanya menunjukkan kombinasi yang baik dan tidak berdepan masalah untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Kita tidak sabar untuk melihat aksi sebenar mereka nanti,” ujarnya.

Alberts turut gembira dengan persembahan Ikhwan Izzat dan Sabri Sahar dan percaya mereka mampu pergi dengan lebih jauh selepas ini.

Ikhwan dan Sabri masih muda dan mereka mempunyai potensi yang cukup besar dalam skuad.

Liga Malaysia (Liga-M) musim 2015 dijangka bermula pada pertengahan Januari.

Advertisement