Anda di sini

28,000 sukarelawan bersihkan alam sekitar sempena Hari Sukarelawan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kira-kira 28,000 belia bergotong-royong semalam membersihkan alam sekitar di 15 lokasi di seluruh negara di bawah program Sukarelawan Malaysia sempena Hari Sukarelawan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata program sukarelawan oleh 1Malaysia For Youth (iM4U) itu bertujuan memupuk perpaduan lebih erat serta menyemai semangat sukarelawan dalam kalangan masyarakat terutamanya belia.

“iM4U menggerakkan program ini buat pertama kali dan ia adalah aktiviti sihat yang berjalan serentak di seluruh negara, dan hari ini (semalam) Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini dijangka berwajah baharu apabila sejumlah 7,000 sukarelawan menyertai aktiviti tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak projek sukarelawan di sini yang dikenali sebagai Projek Batu Road.

Sementara itu Ketua Pegawai Operasi iM4U, Azlan Rudy Abdul Malik berkata aktiviti sukarelawan itu merupakan yang terbesar pernah dianjurkan di Malaysia dan diharap dapat menyuntik rasa menghargai negara sambil memupuk semangat cintakan kebersihan serta memelihara keindahan alam sekitar.

“Program ini akan dijalankan secara berterusan setiap enam bulan untuk memastikan matlamat memelihara alam sekitar ini tercapai serta menjadi budaya belia hari ini,” katanya.

Azlan berkata venue lain program ini ialah Taman Negara Pulau Pinang di Teluk Bahang; Pantai Rhu 10 Setiu Terengganu; Padang Astaka Kota Belud Sabah; Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang; Tasik Melati, Lambir di Sarawak; dan Taman Ekstrem Shah Alam.

“Di Kuala Lumpur ia membabitkan program mengecat semula dan pengindahan bangunan lama, lintasan zebra, sekatan di tepi jalan dan bangku di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman selain pembersihan pantai dan penanaman pokok di lokasi bersesuaian serta menanggalkan poster-poster haram,” katanya.

Di Pulau Pinang, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata program tersebut yang diadakan di Teluk Bahang dapat membantu kerajaan dalam usaha membanteras denggi.

“Sebanyak 53 kes denggi dilaporkan di kawasan Teluk Bahang setakat ini dan usaha membersihkan kawasan kampung dapat membantu menurunkan kes denggi keranaTaman Negara merupakan destinasi pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program itu.

Program itu dihadiri lebih 3,000 sukarelawan termasuk penduduk tempatan dan belia daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Dr Hilmi turut menyarankan golongan belia agar terus melibatkan diri dalam program sukarelawan supaya mereka faham tentang erti untuk berkhidmat kepada masyarakat pada usia yang muda. — Bernama

Advertisement