KUCHING: Kejohanan Sukan Ekstrem Kuching 2014 (The Social Gathering) yang berlangsung di Taman Pertemuan Le’Park di sini menyaksikan penglibatan kira-kira 100 peserta tempatan malah juga dari negara luar.
Kejohanan anjuran Persatuan Sukan Extreme Sarawak (SESA) mempertanding empat kategori merangkumi Skateboard Junior, Skateboard Senior, BMX Open serta Blade Open.
Naib Presiden SESA, Izuwan Rabaiee berkata beliau amat teruja menyaksikan penyertaan amat memberangsangkan golongan tempatan khususnya belia.
“Kalau diikutkan promosi yang kami lakukan untuk menyebar luas mengenai kejohanan ini kami banyak bergantung kepada laman media sosial sahaja.
“Tetapi penyertaan diterima amat baik bukan sahaja belia tempatan, kejohanan ini turut disertai orang luar seperti belia dari Brunei dan Melbourne, Australia,” katanya ditemui di Le’ Park, di sini semalam.
Jelas Izuwan, kejohanan ketiga anjuran SESA itu sepanjang tahun ini bertujuan mengumpul pemain industri sukan ekstrem dalam satu landasan pertemuan bagi mengasah kemahiran ekstrem sedia ada bersama dengan rakan lain.
Bagi kategori Skateboard Junior, peserta adalah kalangan remaja dalam lingkungan 16 tahun ke bawah manakala Skateboard Senior merupakan remaja berusia 17 tahun dan ke atas.
Manakala bagi dua kategori lain iaitu BMX Open dan Blade Open merupakan kategori terbuka kepada sesiapa sahaja.
Pada kejohanan itu, SESA turut membawa pameran dan jualan jenama tempatan serta jenama kumpulan papan luncur yang kebanyakannya merupakan penaja bagi kejohanan itu.
“Tahun hadapan (2015), SESA menyasarkan lebih banyak aktiviti sukan ekstrem dijalankan sekali gus menjadi promosi agar sukan ini dapat diperluaskan untuk mencapai tahap lebih tinggi,” jelas Izuwan.