Anda di sini

Pertandingan Fesyen Trienekens Eco serlah konsep 3R

Advertisement

Oleh Henrietta Liza

SEBANYAK 22 pasukan terdiri daripada para pelajar beberapa buah sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi tempatan telah mengambil bahagian pada Pertandingan Fesyen Trienekens Eco di Kuching, baru-baru ini.

Pihak Trienekens mahu peserta menunjukkan idea rekaan kreatif masing-masing meggunakan barang kitar semula untuk menggayakan pakaian masing-masing.

Pertandingan ini adalah salah satu aktiviti yang diadakan sepanjang dua hari bersempena dengan Festival Alam Santubong bermula 8 sehingga 9 November di Permai Rainforest Resort, Santubong.

Trienekens menganjurkan pertandingan itu bertemakan alam sekitar dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Kuching Permai Rainforest Resort.

Diadakan buat kali kedua, peraduan itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara sumber-sumber berharga di bandar dan warisan, terutamanya di kawasan Santubong.

Pihak Trienekens memperkenalkan penggunaan lestari serta menjaga persekitaran yang bersih dan sihat melalui amalan pengurusan sisa yang baik.

“Sambutan tahun ini sungguh hebat kerana bilangan penyertaan yang diterima pihak kami dua kali ganda lebih banyak daripada tahun sebelumnya.

“Kami amat kagum dengan semua idea luar biasa dan kreatif yang datang daripada para pelajar yang menyertai pertandingan ini,” kata Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Trienekens, Elvin Wee.

Tambahnya lagi, tahap kesedaran dan keprihatinan dalam kalangan generasi muda tentang alam sekitar semakin bertambah baik dan sebagai pengelola, pihaknya percaya ia memainkan peranan positif dalam memelihara dan mengekalkan kepelbagaian sumber asli melalui konsep 3R.

“Festival ini jelas merupakan suatu saluran yang besar untuk berkongsi mesej penting ini dengan masyarakat umum,” tegas Wee.

Hampir 70 peratus ciptaan peserta diperbuat daripada barangan kitar semula dan kemudiannya diperagakan oleh model masing-masing.

Pasukan ‘The Passerine’ dari SMK St Mary muncul juara keseluruhan, diikuti oleh ‘Power Puff Girls’ dari Sekolah Menengah Lodge sebagai naib juara dan Clarissa dari Swinburne University sebagai pemenang tempat ketiga.

Setiap pemenang membawa pulang trofi dan sijil penghargaan bersama baucar beli-belah Parkson.

Selain itu, 10 pasukan lain turut membawa pulang trofi sagu hati dan semua hadiah ditaja oleh Trienekens.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai acara ini, kemas kini boleh didapati di http://santubongnaturefestival.blogspot.com/.

Advertisement