Anda di sini

Sultan Selangor tarik balik gelaran ‘Datuk Seri’ daripada Anwar Ibrahim

Advertisement

SHAH ALAM: Sultan Sela-ngor Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri yang dikurniakan kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkuat kuasa 3 November lepas.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan semalam berkata tindakan itu dibuat setelah baginda berunding dengan Dewan di-Raja Selangor dan selaras dengan kuasa baginda sebagai sumber bagi segala penghormatan dan kebesaran dalam negeri Selangor serta kuasa untuk menurunkan darjah kebesaran sepertimana yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

“Penarikan Darjah Kebesaran Seri-Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A) yang dikurniakan pada 1992 itu adalah berasaskan kepada tindakan dan perlakuan beliau (Anwar) sejak akhir tahun 2013 yang mempersoalkan kewibawaan dan kuasa Sultan Selangor serta institusi raja dalam menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar Selangor pada tahun ini.

“(Tindakan Anwar turut melibatkan) hal-hal yang berkaitan isu-isu agama Islam di mana telah dimaklumi umum bahawa Sultan mempunyai kuasa eksekutif dan sebagai ketua agama sepertimana termaktub di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959,” katanya.

Sehubungan itu, Moha-mad Munir berkata tindakan dan perlakuan Anwar yang juga ketua pembangkang menyebabkan beliau tidak lagi sesuai untuk memegang darjah kebesaran itu. — Bernama

Advertisement