Anda di sini

Kerajaan tetap anggap media dalam talian suara rakyat, kata Shabery

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan tetap menganggap analisis berita,  kritikan dan komen di media dalam talian sebagai suara rakyat yang perlu diberi perhatian.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata  penggunaan media dalam tali-an telah menjadi fenomena, dan diterima rakyat negara ini.

Bagaimanapun beliau berkata semua pihak tetap terikat dengan hak kebebasan bersuara di media dalam talian seperti mana termaktub dalam Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

“Kalau dia menghasut dan fitnah di luar, dia juga menghasut dan fitnah dalam talian. Kita lihat dari segi kandungan bukan medium,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Media Kebangsaan 2014, di sini semalam.

Beliau berkata, proses penyebaran maklumat kini tidak lagi bergantung kepada agensi media tradisional semata-mata selepas kemunculan media dalam talian.

“Kalau (agensi) media nak dilihat lebih pantas, analisis yang lebih padat perlu diberikan supaya peranan media dikekalkan,” katanya.

Terdahulu ketika berucap merasmikan forum itu, Ahmad Shabery berkata dalam konsep demokrasi, media dilihat sebagai “sekat dan imbangan” kepada kerajaan.

Namun beliau berkata terdapat negara yang mempunyai kebebasan media yang tinggi tetapi berada di kedudukan lebih rendah dalam indek rasuah.

Misalnya kebebasan media Malaysia di ranking 147 berbanding sebuah negara jiran yang berada di ranking 130, tetapi dari segi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia jauh lebih baik,” katanya.

Kelmarin CPI Malaysia bagi 2014 yang diumumkan Transparency International (TI) menunjukkan peningkatan ketara daripada skor 50 pada 2013 kepada 52 pada 2014. — Bernama

Advertisement