KUALA LUMPUR: Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak pernah meminta atau memohon Darjah Kebesaran Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A.) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’.
“Darjah Kebesaran S.S.S.A. ini telah dikurniakan kepada saya pada tahun 1992 oleh Almarhum Tuanku Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah tanpa saya membuat sebarang permintaan atau permohonan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata penarikan balik darjah kebesaran itu yang berkuat kuasa 3 Nov lepas tidak akan menghalang dirinya untuk terus bertugas sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.
Anwar, yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), mengulas kenyataan Setiausaha Sulit Sultan Sela-ngor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Datuk Mohamad Munir Bani bahawa baginda berke-nan menarik balik darjah kebesaran itu berkuat kuasa 3 Nov lepas.
Menurut Mohamad Munir, baginda berbuat demikian kerana Anwar sejak akhir tahun 2013 dengan berani mempersoalkan kewibawaan dan kuasa Sultan Selangor serta institusi raja dalam menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar Selangor pada tahun ini.
“(Tindakan Anwar turut melibatkan) hal-hal yang berkaitan isu-isu agama Islam di mana telah dimaklumi umum bahawa Sultan mempunyai kuasa eksekutif dan sebagai ketua agama sepertimana termaktub di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959,” katanya. — Bernama