Anda di sini

Polis serbu hampir 30,000 premis judi sejak 2010

Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan sebanyak 28,378 serbuan ke atas premis judi di bandar raya utama seluruh negara sejak awal 2010 hingga Oktober lepas, persidangan Dewan Negara diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ia meliputi 3,992 serbuan di Daerah Timur Laut, Pulau Pinang; Daerah Johor Bahru Selatan (4,601); Daerah Petaling Jaya, Selangor (6,117); Daerah Ipoh, Perak (1,698); Daerah Dang Wangi, di sini (8,928); Daerah Kuching, Sarawak (2,217) dan Daerah Kota Kinabalu, Sabah (825).

Beliau berkata, bagi membanteras aktiviti berkenaan secara total, polis memerlukan penglibatan orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat serta menghindarkan diri daripada terlibat dengan aktiviti tersebut.

“PDRM khasnya Jabatan Siasatan Jenayah amat peka dan mengambil serius isu berkaitan perjudian haram, terutama yang melibatkan penggunaan Internet di seluruh negara.

“Jabatan ini sentiasa memantau dan menjalankan operasi secara terancang dan berterusan dalam menangani masalah ini,” katanya menjawab soalan Senator Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam pada persidangan itu di sini.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata status ‘Bukan Warganegara’ yang tertera dalam sijil kelahiran seseorang kanak-kanak yang dilahirkan di Persekutuan, bukan merujuk kepada tidak bernegara.

Menjawab soalan Senator Datuk Lihan Jok, beliau berkata status ‘Bukan Warganegara’ diberi kerana terdapat rekod dan maklumat bahawa ibu dan bapa seseorang kanak-kanak itu adalah warga asing.

“Justeru, bagi kes seumpamanya, ibu bapa kanak-kanak berkenaan perlulah menguruskan dokumen perjalanan dan dokumen pengenalan diri kanak-kanak tersebut dengan kedutaan negara asal mereka,” katanya.

Wan Junaidi berkata pengeluaran sijil kelahiran kepada kanak-kanak yang dilahirkan di Persekutuan tidak bermaksud pemberian kewarganegaraan Malaysia secara automatik kepadanya.

“Penentuan kewarganegeraan adalah bergantung kepada syarat-syarat yang termaktub di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, status perkahwinan ibu bapa dan taraf kewarganegaraan ibu bapa,” katanya. — Bernama

Advertisement