Anda di sini

Polis tahan 12 individu, rampas dadah RM700,000

Advertisement

GEORGE TOWN: Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah berikutan penahanan 12 orang termasuk dua wanita dan membongkar sebuah makmal memproses heroin di sebuah rumah di Sungai Ara, di sini Jumaat lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata bertindak atas maklumat awam dan risikan, pihaknya menyerbu rumah berkenaan pada 10.20 pagi dan menahan seorang lelaki serta merampas pelbagai jenis dadah.

“Dalam serbuan di rumah itu, polis merampas pelbagai dadah dan bahan kimia serta pelbagai peralatan memproses dadah,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam. — Bernama

Beliau berkata susulan itu, polis menahan lima lelaki dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah berkenaan di Sungai Petani, Kedah.

“Polis turut menyerbu sebuah lagi rumah di George Town dan menahan enam orang termasuk dua wanita dan merampas 250 gram syabu,” katanya.

Noor Rashid berkata hasil operasi berkenaan, polis menyita sembilan kereta, enam buah motosikal termasuk berkuasa tinggi, barangan kemas dan wang tunai sebanyak RM70,264.

“Nilai dadah yang dirampas ialah RM700,000 manakala jumlah keseluruhan kenderaan dan barang kemas yang disita termasuk wang tunai ialah sebanyak RM800,000,” katanya.

Beliau berkata siasatan mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif sejak tahun lepas dan aktif mengedar dadah di sekitar Pulau Pinang dan Kedah.

Katanya kesemua mereka yang berusia 26 hingga 47 tahun itu kini direman seminggu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — Bernama

Advertisement