Anda di sini

Perwira 69 Komando ketuai senarai penerima pingat

Advertisement

KUALA LUMPUR: Allahyarham ASP Mohd Zabri Abdul Hamid, antara perwira paling dikenang dalam sejarah 69 Komando, mengetuai senarai 105 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2014 bersempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang disambut 7 Jun lepas.

Mohd Zabri daripada Platun Komander 2, 69 Komando yang terkorban akibat terpijak jerangkap samar pada tahun 1975, menerima gelaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) yang merupakan pingat tertinggi dan paling kanan dalam senarai keutamaan anugerah persekutuan.

Balu beliau Che Manis Abdullah menerima pingat itu bagi pihak Mohd Zabri pada istiadat pengurniaan di Istana Negara di sini semalam.

Turut berangkat pada istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Penganugerahan semalam juga membabitkan 23 penerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri, antaranya Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Datuk Prof Ir Dr Ahmad Zaidee Laidin, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datuk Amar Wilson Baya Dandot dan Pengarah Urusan Akitek Jururancang (M) Sdn Bhd Datuk Sri Esa Mohamed.

Penerima PSM lain ialah Pengarah Urusan Brunfield International Group Datuk Ir Gan Thian Leong, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Penasihat Media Kepada Perdana Menteri Datuk Seri Jalaludin Bahaudin, Pengerusi Media Prima Berhad Datuk Johan Jaaffar dan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) Datuk Seri Mohd Yussof Abdul Latiff.

PSM juga dianugerahkan kepada Yang Dipertua Majlis Datuk Persekutuan Malaysia Datuk Ooi Han Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Mamee-Double Decker (M) Bhd Datuk Wira Pang Tee Chew, Pengerusi Ahmad Zaki Resources Berhad Datuk Seri Raja Aman Raja Ahmad, Pengarah Eksekutif See Hoy Chan Holdings (SHCH) Datuk Ir Teo Chiang Hong dan Pengarah Urusan Liziz Standaco Sdn Bhd Datuk Guok Nguong Peng.

Ketua Pegawai Eksekutif Kencana Petroleum Sdn Bhd Datuk Mokhzani Tun Dr Mahathir, bekas Panglima Tentera Udara Jen (B) Datuk Seri Abdullah Ahmad @ Dollah Amad, bekas Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Abdul Kudus Alias dan Ahli Dewan Negara Senator Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman turut menerima PSM.

Begitu juga Penasihat Parti Gerakan Rakyat Datuk Chang Ko Youn, Timbalan Pengerusi Tetap UMNO yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Johor Datuk Mohamad Aziz dan bekas Tokoh Politik Parti USNO Datuk Rasan @ Jefrin Majanun Jasni.

Sebanyak 35 orang menerima anugerah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’, antaranya Ahli Dewan Negara yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kemaman Senator Rahmani @ Rohani Abdullah, Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri Hasanah Ab Hamid dan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Himmat Singh a/l Ralla Singh dan Timbalan Peguam Cara Negara III Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek.

Turut menerima PJN ialah Ketua Pentadbir Parlimen Datuk Lamien Sawiyo, Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa) Prof Dr Yahaya Ibrahim, Perunding Kanan, Pengarah Klinikal Intervensi Kongenital dan Struktur Institut Jantung Negara (IJN) Dr Mazeni Alwi dan Pengarah Urusan Perisai Petroleum Teknologi Berhad Zainol Izzet Mohamed Ishak.

Tiga penerima anugerah Panglima Setia Diraja (PSD) yang turut membawa gelaran ‘Datuk’ ialah Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Mejar Jeneral Datuk Md Tarji Alwi, Setiausaha Bahagian Kewangan di Jabatan Perdana Menteri Zolkopli Dahalan dan Juruiring Polis kepada Yang di-Pertuan Agong SAC Datuk Mastor Mohd Ariff.

Sebanyak 15 orang menerima anugerah Johan Mangku Negara (JMN) termasuk Ketua Polis Kontinjen Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Ketua Pegawai Operasi The News Straits Times Press Mohammad Azlan Abdullah.

Penerima anugerah Johan Setia Diraja (JSD) pula sebanyak 15 orang, antaranya Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Mohd Amran Mat Zain dan Ketua Pusat Penyelidikan Kanser, Institut Penyelidikan Perubatan Dr Zubaidah Zakaria.

Anugerah Panglima Gagah Berani (PGB) diberikan kepada 11 orang termasuk lapan wira negara yang terkorban dalam insiden pencerobohan Lahad Datu iaitu Allahyarham ACP Ibrahim Lebar, mendiang ASP Michael Padel, Allahyarham ASP Zulkifli Mamat, Allahyarham Sarjan Mejar Abd Aziz Sarikon, Allahyarham Sarjan Mejar Baharin Hamit, Allahyarham Sarjan Sabarudin Daud, Sarjan Salam Togiran dan Koperal Mohd Azrul Tukiran.

Anugerah disampaikan kepada waris penerima.

Sementara itu anugerah Jasa Perkasa Persekutuan (JPP) pula disampaikan kepada dua penerima iaitu Supt Mancha Ata daripada PT Risikan/Gerakan 69 Komando Pasukan Gerakan Khas dan Supt Mohd Zahari Sidik daripada Cawangan Khas EI Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah. — Bernama

Advertisement