Anda di sini

Penjualan perisian cetak rompak tumpas, seorang lelaki ditahan

Advertisement

PUTRAJAYA: Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menumpaskan satu kegiatan penjualan perisian Microsoft Windows 7 cetak rompak berikutan tertangkapnya seorang lelaki di Seri Kembangan, Selangor, Rabu lepas.

Kegiatan yang dijalankan secara dalam talian itu bukan hanya menjual perisian semata-mata malah dilengkapi dengan pelekat Microsoft ‘Certificates Of Authenticity’ (COA) seolah-olah, perisian tulen.

Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa (Pembangunan) KPDNKK Datuk Iskandar Halim berkata lelaki berumur lingkungan 30-an itu ditahan selepas pihak berkuasa kononnya mengadakan temu janji untuk urusan jual beli di sebuah pusat beli-belah di Seri Kembangan, Selangor.

“Temu janji itu diadakan pada jam 2.30 petang sebelum lelaki itu ditangkap dan dibawa ke rumahnya yang dijadikan premis menyimpan semua perisian itu di Seri Kembangan. Susulan itu, kami merampas 100 keping COA,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata hasil siasatan mendapati lelaki tersebut yang merupakan juruteknik teknologi maklumat (IT) telah menjalankan kegiatan itu secara bersendirian sejak enam bulan lepas.

“Modus operandi ialah suspek akan menghantar e-mel secara rawak termasuk kepada penjual komputer riba untuk memaklumkan mengenai penjualan perisian itu. Pembeli akan melihat harganya yang jauh lebih murah tanpa memikirkan ketulenannya.

“Dengan adanya COA itu juga akan menyakinkan pembeli bahawa perisian itu tulen tetapi apabila dihalusi dapat dilihat tulisan Microsoft pada pelekat cetak rompak itu tidak kelihatan berbanding yang tulen,” katanya.

Beliau berkata siasatan mendapati setiap satu perisian dengan COA itu dijual dengan harga RM150 berbanding yang tulen harganya tidak kurang RM300.

Tambahnya, pihaknya juga percaya pelekat COA itu diperoleh dari luar negara.

Katanya kes ini, iaitu membabitkan perisian Microsoft Windows dicetak rompak adalah yang pertama dan ia hasil aduan wakil Microsoft di Malaysia.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap barang atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — Bernama

Advertisement