Anda di sini

Millah Abraham: Waran tangkap dikeluarkan terhadap Mohd Fazil

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Fazil Mohd Yunus, yang didakwa mengembangkan ajaran agama dikenali sebagai Millah Ibrahim@Abraham, kerana gagal hadir pada prosiding mahkamah semalam.

Hakim Syarie Muhamad Abdul Karim Wahab membuat keputusan itu selepas Pendakwa Syarie Kanan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Zainor Rashid Hassin memaklumkan Mohd Fazil, 37, yang berniaga sendiri, gagal dikesan sejak dia dilepaskan dengan ikat jamin pada 4 Nov lepas.

Zainor Rashid berkata JAWI berusaha mencari tertuduh di rumahnya di Klang, Selangor namun dia dan keluarganya tiada di situ.

“Menurut jirannya, Mohd Fazil telah keluar rumah dan tidak kembali (ke rumahnya) sehingga semalam (kelmarin). Pihak kami turut mencari tertuduh di rumah mentua, yang tidak jauh dari rumahnya namun bapa mentua Mohd Fazil memaklumkan beliau juga sedang mencari Mohd Fazil dan isterinya.

“Isteri tertuduh, yang merupakan seorang guru agama, juga sudah lama tidak hadir di tempatnya mengajar,” katanya.

Mahkamah juga memerintahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap penjamin Mohd Fazil iaitu Amirul Annas Illias kerana turut gagal hadir di mahkamah semalam.

Prosiding semalam ditetapkan untuk merekodkan pengakuan Mohd Fazil bersama seorang lagi tertuduh, Wan Ramlah Megat Razalli, 47.

Wan Ramlah yang hadir di mahkamah semalam, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang sama.

Mengikut pertuduhan, Mohd Fazil dan Wan Ramlah didakwa bersama mengembangkan doktrin atau kepercayaan agama selain Islam di premis perniagaan Tingkat 2, No.10-2, Jalan 2A/27A Seksyen 1, Wangsa Maju, di sini, antara jam 10 malam hingga 10.30 malam 3 Nov lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997) yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Wan Ramlah diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jan tahun depan untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding itu, mahkamah menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes anak kepada Wan Ramlah, Puteri Najlaa Jaafar, 23, Aizat

Firdaus Azmi, 19, Syed Aiman Akmal Syed Ahmad Akmal, 19, Muhammad Asyraf Ibrahim, 29, Raja Mohd Faidzul Draman, 33, dan Mohd Razib Baharudin, 35, yang menghadapi pertuduhan bersubahat dalam ajaran itu.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah waran tangkap terhadap Mohd Razib dan Raja Mohd Faidzul serta penjamin kerana gagal hadir pada prosiding itu.

Keenam-enam tertuduh itu didakwa bersubahat mengambil bahagian bersama dalam satu majlis mengembangkan kepercayaan ajaran Millah Ibrahim @ Abraham di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 43(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997) yang membawa hukuman yang sama.

Muhammad Asyraf diwakili peguam Mohd Rifahmi Abdul Musikin manakala tertuduh yang lain tidak diwakili peguam. — Bernama

 

Advertisement