Anda di sini

Zaidi jelaskan kenyataannya mengenai Cina disalah lapor

Advertisement

BUKIT MERTAJAM: Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata kenyata-annya berhubung kaum Cina di Pulau Pinang  disalah lapor media tertentu menyebabkan beliau dikecam termasuk daripada rakan parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA dan GERAKAN.

Beliau menjelaskan bahawa dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung UMNO Jumaat lepas, beliau ada me-nyebut mengenai kelemahan penguatkuasaan menyebabkan ‘kadang-kadang’ kaum Cina menjadi kaya dengan aktiviti perniagaan haram termasuk judi dan maksiat.

“Hari ini (semalam) saya ingin jelaskan saya tidak menuduh semua kaum Cina di Pulau Pinang terbabit dalam perniagaan haram… saya menyebut perkataan ‘kadang-kadang’ bermaksud segelintir sahaja dan saya tidak menyebut semua orang Cina di Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, dalam laporan media berkenaan perkataan ‘kadang-kadang’ ini tidak diambil dan 90 peratus ucapan saya itu sebenarnya menyentuh mengenai kelemahan penguatkuasaan membabitkan kerajaan pusat dan negeri,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohd Zaidi menyifatkan tindakan itu berniat jahat dan bertujuan tidak baik untuk memecah belah dan mencetuskan perbalahan kaum di Pulau Pinang.

Sebuah portal berita online yang melaporkan perbahasan Mohd Zaidi itu menyebut beliau dalam ucapannya mendakwa kegiatan seperti perjudian dan pelacuran adalah ‘sumber kekuatan Cina yang tidak menyokong BN’ di Pulau Pinang dan mahu aktiviti penguatkuasaan diperketatkan.

Ekoran itu, Mohd Zaidi dibidas banyak pihak termasuk Ketua Menteri Lim Guan Eng, anggota MCA dan GERAKAN.

Mohd Zaidi turut menyelar kenyataan Lim yang mendakwa ucapannya itu adalah pembohongan dahsyat dan menafikan adanya aktiviti perniagaan haram perjudian dan maksiat di Pulau Pinang.

Mohd Zaidi meminta diberi masa dan berjanji akan menunjukkan buktinya sebelum awal tahun depan. — Bernama

Advertisement