Anda di sini

Elemen pembuktian fitnah di media sosial diperhalusi

Advertisement

Banyak pengguna media sosial menggunakan identiti palsu

AKAN DITAYANGKAN: Ahmad Shabery beramah mesra dengan kanak-kanak daripada Smart Reader Kids Shah Alam pada Majlis Pelancaran Animasi Amuz ‘Space Series for Kidz’ di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar (belakang, kanan). Siri animasi terbaharu berkisar mengenai angkasawan negara itu bakal disiarkan pada 2015. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pembuktian mana-mana kenyataan berbaur hasutan dan fitnah di dalam dan luar media sosial merupakan antara perkara yang akan diperhalusi dalam usaha memperkasa Akta Hasutan 1948.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata faktor pembuktian termasuk bagi kes yang dibawa ke mahkamah perlu diambil kira memandangkan banyak pengguna media sosial menggunakan nama samaran atau identiti palsu.

“Ada cadangan untuk daftar (identiti) dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Secara logik ia boleh dilakukan tetapi dari segi teknikal memang (ada) cabaran sebab ada individu mendaftarkan diri sebagai pengguna laman sosial Facebook umpamanya, di luar negara.

“Malah Facebook bukan berdaftar di bawah SKMM. Masyarakat kena faham perkara ini,” katanya selepas melancarkan pengenalan filem 3D Animasi ‘AMUZ Space Series for Kidz’ di sini semalam yang turut dihadiri angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

Beliau menarik perhatian bahawa pendaftaran bagi pengguna Facebook ketika ini tidak memerlukan mereka berkongsi maklumat seperti alamat dan sebagainya, dan ini menjurus kepada kesukaran membuktikan identiti pihak yang menyalah guna laman sosial itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengumumkan bahawa Akta Hasutan dikekalkan dengan cadangan pindaan untuk memperkukuhkannya supaya relevan dengan perkembangan zaman.

Jelas Ahmad Shabery, adalah menjadi cabaran besar kepada mana-mana negara termasuk di Eropah bagi membuktikan seseorang pengguna media sosial itu telah melakukan kesalahan memfitnah dan menghasut.

Beliau berkata sehingga kini, kebanyakan negara termasuk Malaysia sukar mencari jawapan dalam membuktikan kesalahan melibatkan pengguna media sosial.

“Mungkin pilihan lain adalah kerjasama dengan Facebook, Twitter dan sebagainya seperti pendaftaran IP address yang membolehkan kerja forensik mengesan mereka yang bersalah dapat dibuat,” katanya.

Ahmad Shabery seterusnya menjelaskan bahawa pindaan akta itu perlu menunggu peruntukan baharu yang akan dibuat Pejabat Peguam Negara termasuk keperluan mengemas kini Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bersesuaian dengan peredaran zaman dan teknologi masa kini.

Terdahulu, Ahmad Shabery berkata filem animasi itu antara usaha yang perlu diberi perhatian kerana berjaya mendapatkan kerjasama syarikat antarabangsa selain mengetengahkan produk keluaran anak tempatan.

Beliau berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dijangka akan meneliti permohonan bajet pembikinan filem itu yang memerlukan modal dan sokongan untuk dikembangkan dan dihasilkan dengan lebih berkualiti dan menarik.

Dr Sheikh Muszaphar, yang mengilhamkan projek animasi itu, berkata ia berkisar mengenai pengalamannya di angkasa lepas, fakta mengenai planet, sistem solar dan sebagainya bagi menarik minat generasi muda mencintai sains dan astronomi. — Bernama

Advertisement