Anda di sini

Pengayuh basikal solo mula cabaran rentas lima negara

Advertisement

Warga emas jelajah Asia Tenggara dalam tempoh tiga bulan

KOTA BAHARU: Pengayuh basikal solo warga emas Wan Hashim Wan Mahmood, semalam memulakan cabaran melakar nama untuk menjelajah ke lima negara di Asia Tenggara dalam tempoh penjelajahan selama tiga bulan.

Penjelajahan yang turut disertai seorang bekas anggota komando, Abdul Khalib Zakaria, 44, dari Kedah itu membabitkan perjalanan sejauh 6,000 kilometer melibatkan negara Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura dan Indonesia.

Acara pelepasan Wan Hashim dan Abdul Khalib itu dilakukan dalam satu majlis ringkas oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat di pekarangan Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Turut hadir, Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Kelantan Mohd Aidil Afizie Daud, Penasihat Kanan redONE Wilayah Timur Datuk Sulaiman Ahmad dan Timbalan Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) Zabidi Ishar.

Pada majlis itu, lapan anggota Kelab Basikal Penjara Pengkalan Chepa, berkayuh bersama-sama mengiringi Wan Hashim dan Abdul Khalib ke Lapangan Terbang Ismail Petra (LTSIP).

Malam tadi, kedua-dua mereka akan berlepas ke bandar Ho Chi Minh, Vietnam, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) bagi memulakan kayuhan hari ini.

Wan Hashim, 69, ketika ditemui berkata keadaan geografi serta cuaca yang berbeza akan memberi cabaran besar buat dirinya pada penjelajahan itu.

“Saya dah buat persiapan sejak empat bulan lepas dan kayuhan sejauh 30 kilometer sehari akan memantapkan lagi stamina untuk menjayakan misi ini,” katanya.

Beliau sebelum ini, menjelajah secara solo ke seluruh Semenanjung selama 28 hari pada Februari lepas dan kejayaannya dicatat dalam Malaysia Book of Records bagi kategori ‘Pengayuh Basikal Tertua Mengelilingi Semenanjung Malaysia’ pada April lepas.

Datuk kepada 18 cucu itu berkata kayuhan yang dilakukannya itu bertujuan untuk memberi galakan kepada masyarakat bagi mengamalkan gaya hidup sihat.

“Ini merupakan satu daripada sumbangan saya kepada negara dan saya harap orang yang telah bersara jangan hanya duduk di rumah, keluar beriadah ia untuk kesihatan juga,” katanya.

Katanya segala aktiviti dalam penjelajahan kali ini akan dimuatkan dalam laman sosial Facebooknya bagi membolehkan orang ramai mengetahui perkembangan penjelajahannya itu.

Sementara itu, Faridah Daud, 62, berkata kesemua anggota keluarga mendoakan agar suaminya itu berjaya menyelesaikan penjelajahan ke lima buah negara berkenaan.

“Harapan saya biar dia berjaya dan sampai, memang bimbang tetapi saya restu dan hanya doa mengiringi penjelajahannya. Saya akan berhubung dengannya melalui telefon untuk bertanya khabar tentang keadaan di luar negara,” katanya.

Bagi Abdul Khalib, aspek keselamatan menjadi keutamaan sepanjang penjelajahan di lima negara itu.

“Mungkin sebelum ini dia (Wan Hashim) tidak pernah merasai tidur dalam khemah dan saya akan bantu dalam aspek sebegitu selain faktor keselamatan perlu dititikberatkan,” katanya.

Abdul Khalib yang mempunyai empat anak, pernah berbasikal mengelilingi dunia bersama seorang rakan dalam Misi Berbasikal Mengelilingi Dunia Kedua (BMD2) pada 2011. — Bernama

Advertisement