Anda di sini

Peminat burung teruja dengan burung di Langkawi

Advertisement

LANGKAWI: Peminat dari luar negara begitu tertarik dengan burung yang terdapat di pulau ini yang dikatakan mempunyai lebih 230 spesies.

Seorang daripada mereka, Cristina R.Cinco, 53, dari Filipina begitu kagum apabila mendapati Langkawi memiliki banyak spesies burung.

Wanita ini yang menjadi peminat burung sejak enam tahun lalu di negaranya berkata beliau tidak berasa rugi menghadiri pameran burung Asia (ABF) kali kelima di Perkampugan Oriental di sini.

“Ini kali pertama saya menyertai ABF di Langkawi. Saya berasa teruja melihat pelbagai jenis burung di sini,” katanya.

Mengenai minatnya itu, beliau yang menyertai kelab burung di negaranya berkata setiap kali beliau melihat burung, beliau merasakan kegembiraan pada dirinya.

“Rakan saya memperkenalkan aktiviti ini dan sejak itu saya suka melihat burung di seluruh dunia. Berbanding aktiviti lain, aktiviti ini tidak memakan banyak belanja,” jelasnya.

Pada masa yang sama Cristina berbangga Langkawi dapat memulihara spesies burung walaupun sedang pesat membangun.

Seorang lagi peserta ABF, Tri Susanti Yasin, 32, dari Indonesia berkata beliau gembira berada di sini untuk berkongsi maklumat dengan peserta dari negara lain dan berkongsi pandangan mengenai kehidupan burung.

“Peralatan yang saya perlukan untuk memerhati burung hanyalah kamera dan lensa,” katanya dan berharap Indonesia akan menjadi tuan rumah pameran ini kelak.

ABF merupakan acara tahuan yang diasaskan enam pertubuhan dari Taiwan, Filipina, Thailand dan Malaysia yang bertujuan mempamer, melindungi burung dan habitatnya serta menggalakkan aktiviti melihat burung.

Pameran tahun depan akan diadakan di Singapura. — Bernama

Advertisement