Anda di sini

Lebih 5,000 peminat saksi perlawanan Sarawak-Miri

Advertisement

MIRI: Lebih 5,000 peminat pasukan Sarawak membanjiri Stadium Miri di sini petang Jumaat lalu bagi menyaksikan secara dekat pasukan Ngap Sayot menentang pasukan pilihan Miri.

Presiden Persatuan Bola Sepak Miri, Mohd Saif Jubaidi berkata meskipun pasukan pilihan Miri tumpas kepada Sarawak 5-0 dalam perlawanan itu namun sekurangkurang mampu membakar semangat pemain-pemain tempatan.

“Kalah menang bukan ukuran, namun dari sudut positif kita melihat ramai peminat pasukan Sarawak membanjiri Stadium Miri bagi memberi sokongan kepada pasukan Liga Super kita,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Menurutnya, kedatangan pasukan Sarawak ke Bahagian Miri merupakan rangka latihan pasukan itu selain mengadakan sesi bertemu peminat di bahagian utara.

Mohd Saif berkata, peminat Sarawak di sini amat berpuas hati kerana dapat melihat secara dekat pasukan mereka lebih-lebih lagi dengan kelibat pemain Sarawak berasal dari Miri, Joseph Kallang Tie.

“Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri mengucapkan jutaan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) kerana membenarkan pasukan Sarawak berkunjung ke bandar raya minyak ini.

“Ini adalah satu penghormatan kepada kami dan berharap kunjungan pasukan Sarawak dapat diteruskan dari semasa ke semasa berikutan sokongan peminat terhadap pasukan kita tidak pernah luntur dan terus teguh,” katanya.

Beliau juga berterima kasih dengan semua pihak yang turut bekerjasama melancarkan program tersebut termasuk agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan persatuan-persatuan di sini.

 

Advertisement