Anda di sini

Dollah puas hati percaturan saat akhir berhasil

Advertisement

SINGAPURA: Pengendali skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh berpuas hati dengan keputusan saat-saat akhir untuk merombak jentera serangan negara sewaktu menentang Singapura di Stadium Nasional, Singapore Sports Hub malam kelmarin.

Langkah itu mendatangkan hasil, kata beliau.

Bekas Ketua jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berkata penyerang kembar negara, Mohd Safee Mohd Sali dan Norshahrul Idlan Talaha cuba mencari gol kemenangan pada aksi terakhir kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014 itu, namun gagal.

“Sebab itu saya mengambil keputusan untuk memasukkan Abdul Manaf (Mamat) dan Indra Putra (Mahayuddin) pada saatsaat akhir bagi menggantikan mereka berdua dan nyata berbaloi.

“Apa yang menarik mengenai Indra Putra adalah beliau mampu menjaringkan gol daripada sudut yang sukar dan beliau wajar dijadikan contoh oleh beberapa pemain muda kita,” kata Dollah kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Kemenangan 3-1 yang diraih Malaysia pada perlawanan malam ini membawa skuad negara ke peringkat separuh akhir berdepan juara kumpulan A, Vietnam awal Disember ini.

Dol lah turut memuj i kesemua barisan pemain negara termasuk pemain sayap, Azamuddin Mohd Akil yang berusaha untuk mencipta peluang jaringan kepada jentera serangan ketika skuad negara terdesak untuk memenangi perlawanan tersebut untuk terus kekal bersaing.

“Saya amat berbangga kerana semua pemain tidak mudah berputus asa ketika kita terdesak untuk mencari gol kemenangan.

“Saya agak bimbang sewaktu kita terikat seri 1-1, namun para pemain tidak patah semangat dan bangkit meraih kejayaan,” jelas Dollah.

Berkongsi pandangan yang sama adalah Mohd Safee yang berpuashati dengan persembahan yang dipamerkan oleh rakan sepasukan walaupun berdepan tekanan beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong Singapura.

“Pemain sudah memberikan yang terbaik dan saya harap ki ta dapat meneruskan rentak kemenangan ini apabila menentang Vietnam nanti,” jelas penyerang kelab Johor Darul Ta’zim itu.

Thailand yang muncul juara kumpulan B susulan kemenangan 3-1 ke atas Myanmar bakal menentang naib juara kumpulan A, Filipina pada peringkat separuh akhir.  — Bernama

Advertisement