Anda di sini

Sinar cahaya Ngap Sayot

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

Alberts berpuas hati dengan persembahan skuad baharu bimbingannya

KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts berpuas hati dengan persembahan skuad baharunya selepas berjaya menewaskan pilihan Miri 5-0 pada perlawanan pertama Siri Jelajah Sarawak-Sabah di Stadium Miri petang kelmarin.

Menurutnya, barisan pemain baharu tempatan dan import tidak menghampakan beliau dengan menampilkan aksi yang meyakinkan sepanjang perlawanan.

“Saya amat berpuas hati dengan persembahan pasukan kita terutamanya pemain-pemain baharu. Mereka telah menunjukkan keyakinan serta komitmen yang cukup tinggi.

“Ini permulaan baik untuk skuad Sarawak yang serba baharu ini, namun saya akui masih banyak yang perlu diperbaiki terutamanya dari aspek keserasian kalangan pemain,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, gandingan Ryan Griffiths dan penyerang baharu Billy Mehmet perlu diasah meskipun berjaya menghiburkan penyokong dengan sumbangan satu gol setiap seorang.

Komen sama ditujukan kepada pemain pertahanan, Jimmy Modeste yang sedang menjalani ujian bersama Sarawak dan berharap beliau dapat menunjukkan ‘X factor’nya apabila turun menentang Sabah malam ini.

Bagaimanapun, Alberts gembira dengan prestasi pemain tempatan Ikhwan Izzat yang berjaya menyumbat dua gol ketika menentang Miri petang kelmarin.

“Izzat mempunyai potensi besar untuk terus diserapkan dalam skuad senior. Namun, beliau perlu membuktikan keupayaan sebenar apabila berdepan lawan yang jauh lebih hebat,” ujar Alberts.

Sambil menambah, Alberts yakin pertemuan dengan Sabah malam ini akan menjadi penanda aras pemain-pemain skuad Sarawak musim baharu nanti.

Pada perlawanan kelmarin, pemain sayap baharu Partiban Janasekaran turut menjaringkan satu gol.

Sarawak akan meneruskan siri jelajah menentang Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada malam ini.

Ini disusuli perlawanan menentang pilihan Limbang pada 2 Disember nanti selepas sesi bertemu peminat di bandar Utara Sarawak itu.

Skuad Ngap Sayot akan melengkapkan persediaan menghadapi Liga Malaysia 2015 dengan mengadakan empat perlawanan persahabatan di Phuket, Thailand dari 11 hingga 22 Disember ini.

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) masih belum memuktamadkan empat skuad yang bakal menjadi rakan ‘sparing’ Sarawak sepanjang siri jelajah ke negara Gajah Putih itu nanti.

Advertisement