Anda di sini

Kereta kebal ringan antara tarikan Pameran Evolusi Senjata Dan Kemanusiaan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lapan puluh senjata pelbagai zaman dan beberapa aset milik Tentera Darat kini dipamerkan di Muzium Negara di sini mulai semalam hingga 20 Feb depan.

Selain senjata, pengunjung ke Pameran Evolusi Senjata dan Kemanusiaan itu boleh melihat secara dekat aset tentera seperti ‘Light Tank Scorpion’ dan kereta perisai ‘Commando V150.’

Ketua Penyelidik Muzium Tentera Darat Muhd Zuraiman Abd Ghani berkata ‘Light Tank Scorpion’ ialah kereta kebal jenis ringan yang diperbuat daripada aluminium aloi.

Dikendalikan oleh tiga orang, kereta kebal ini dilengkapi senjata utama iaitu meriam ‘Cockrill 90mm.’

Ia rendah dan enjinnya tidak bising ketika bergerak kerana ia menggunakan enjin jenis ‘Perkin Diesel’, katanya kepada Bernama.

‘Commando V150’ pula digunakan tentera bagi mengiringi anggota tentera yang lain dan melindungi mereka daripada tembakan kecil seperti mortar dan serpihan letupan bom.

Dilengkapi senjata ‘Twin GPMG’ buatan  Amerika Syarikat, ia digunakan oleh ‘Kor Kavalri Diraja’ pada tahun 1974 hingga 1984.

Muhd Zuraiman berkata pameran itu bertujuan memberi maklumat kepada pengunjung mengenai aset dan pakaian-pakaian yang digunakan oleh Tentera Darat pada zaman penjajahan Jepun dan British sehinggalah kemerdekaan Tanah Melayu.

Senjata yang dipamerkan termasuk jenis Sniper, Rifle, M16 dan AR-15 dan menariknya pengunjung dibenarkan memegang senjata-senjata berkenaan untuk merasai pengalaman sebenar.

Pengunjung juga berpeluang melihat aksi lakonan semula babak pertempuran dari zaman darurat, zaman perang Vietnam dan peristiwa Bukit Candu iaitu pertempuran yang berlaku ketika Jepun menyerang Singapura semasa Perang Dunia II yang menjulang nama Rejimen Askar Melayu menjadikannya pasukan tentera yang disegani dalam kalangan pasukan tentera Komanwel.

Pameran dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Jabatan Muzium. — Bernama

Advertisement