Anda di sini

Kematian arnab sebabkan pelajar jadi doktor Veterinar

Advertisement

KOTA BAHARU: Kesilapannya dengan memberi makan coklat kepada arnab peliharaannya menyebabkan seorang pelajar bertekad menjadi doktor veterinar.

Inilah yang diceritakan Dr Nur Hazlizan Sulaiman, 24, selaku penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada majlis konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kali keempat di sini semalam.

Anugerah disampaikan Pro Canselor UMK, Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Graduan ijazah doktor perubatan Veterinar ini berkata peristiwa berkenaan telah memberi kesan mendalam ke atas dirinya di samping membuatkan beliau mula berminat dalam bidang veterinar.

“Sejak dari itu saya nekad untuk menceburi bidang veterinar bagi mengetahui punca sebenar kematian arnab saya dan sekarang baru saya tahu bahawa coklat adalah racun kepada arnab,” kata anak ketiga daripada empat beradik ini kepada pemberita kemudiannya.

Berkongsi rahsia kejayaannya dalam pelajaran, Dr Nur Hazlizan berkata beliau sentiasa mengisi masa lapang dengan membaca termasuk majalah hiburan.

“Setiap hari saya akan luangkan masa untuk membaca sekurang-kurangnya dua buah buku. Saya juga lebih suka belajar secara berkumpulan.

“Di samping itu saya menanam azam untuk mendapat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) sebelum saya berusia 30 tahun,” katanya.

Beliau merupakan antara 38 graduan sulung Ijazah Doktor Perubatan Veterinar keluaran UMK.

Bagi bapanya Sulaiman Karta, 57, beliau sering menekankan aspek penguasaan bahasa Inggeris kepada kesemua anaknya.

“Melalui penguasaan bahasa Inggeris mereka dapat memperoleh lebih banyak ilmu dan Alhamdulillah semua mereka berjaya,” katanya. — Bernama

Advertisement