Anda di sini

JPAM gerak 11,800 anggota jalankan operasi banjir

Advertisement

TELUK INTAN: Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) menggerakkan 11,800 anggotanya untuk membantu menangani banjir yang kini melanda beberapa negeri, kata Ketua Pengarahnya Datuk Zaitun Ab Samad.

Beliau berkata JPAM juga mempunyai 300,040 pegawai dan anggota bantuan bagi tugasan susulan untuk meneruskan operasi jika diperlukan bagi tempoh yang berpanjangan.

“Anggota JPAM sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia dan kesemua aset serta kelengkapan yang diperlukan untuk menghadapi banjir sentiasa dipantau dan boleh digunakan pada bila-bila masa.

“Kita telah menjangkakan bahawa musim tengkujuh akan berlaku seperti tahun sebelumnya. JPAM mengambil tindakan proaktif di mana sebelum berlakunya banjir kita telah mengenal pasti anggota yang boleh digerakkan dalam tempoh tiga jam pertama berlakunya banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong di sini, semalam.

Zaitun berkata pihaknya menerima 90 buah ambulans daripada kerajaan untuk keperluan menghadapi banjir.

“Kita juga sudah membuat pembelian beberapa buah bot dan akan mengagihkan bot berkenaan kepada semua negeri dan kita memberi keutamaan kepada tempat-tempat yang selalu berlakunya banjir,” katanya.

Di Perak, kejadian banjir yang melanda kawasan Changkat Jong adalah yang kedua dalam tempoh dua minggu selepas ban Sungai Bidor pecah akibat hujan lebat dan air melimpah ke kawasan penempatan.

Pada 14 Nov lepas, sebanyak 56 mangsa daripada 16 keluarga yang mendiami Lorong Mesra di sini terpaksa dipindahkan.

Setakat pagi tadi, jumlah mangsa banjir di Changkot Jong menurun kepada 299 orang berbanding 345 orang malam kelmarin. — Bernama

Advertisement