Anda di sini

Graduan perlu kuasai pelbagai bahasa

Advertisement

Kelayakan wajib untuk mencapai kejayaan dalam persaingan di peringkat global

KOTA BAHARU: Graduan-graduan perlu menguasai bahasa lain, selain bahasa Melayu, sebagai nilai tambah bagi menghadapi cabaran selepas tamat pengajian, kata Pro-Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Baginda bertitah penguasaan bahasa Inggeris, Mandarin dan bahasa lain membolehkan graduan untuk bersaing di peringkat global.

“Graduan diingatkan supaya jangan jemu menimba ilmu walaupun sudah menjadi graduan berjaya. Manfaatkan seluruh ilmu dan pengalaman untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat dan negara,” titah baginda pada Konvokesyen UMK Ke-4 di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMK Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Raduan Che Rose dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Seramai 575 penuntut terdiri daripada 35 graduan peringkat Ijazah Sarjana dan Kedoktoran serta 540 graduan Ijazah Sarjana Muda menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen itu.

Tengku Muhammad Fa-Iz yang juga Tengku Mahkota Kelantan berkata graduan secara tidak langsung dapat menaikkan nama universiti melalui penguasaan bahasa berkenaan.

Selain itu, baginda bertitah agenda keusahawanan yang dibawa universiti itu perlu dikekalkan kerana ia selaras dengan ajaran Islam.

“Keusahawanan juga merupakan ciri penting untuk terus kekal relevan dalam arus pengajian tinggi negara. Kemahiran dan nilai keusahawanan juga diiktiraf di peringkat global sebagai realiti baharu abad ke-21 yang penuh dengan cabaran dan kejutan,” titah baginda.

Baginda bertitih bahawa pendekatan baharu dalam pengajaran, keusahawanan dan pengurusan modal insan perlu diambil kira sesuai dengan perkembangan teknologi yang dinamik.

Pada konvokesyen itu, Pengerusi Eksekutif Nadicorp Holdings Berhad dan anggota senat Industri UMK Tan Sri Dr Mohd Nadzmi Mohd Salleh menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Keusahawanan), bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines (MAS) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan) manakala pakar pemakanan haiwan Prof Emeritus Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim pula menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Doktor Perubatan Veterinar). — Bernama

Advertisement