Anda di sini

Yakinkan rakyat bahawa Akta Hasutan perlu untuk keharmonian negara

Advertisement

KUALA LUMPUR: Akta Hasutan 1948 perlu dikekalkan untuk keharmonian negara dan kerajaan perlu meyakinkan rakyat tentang perkara ini, kata seorang ahli akademik.

Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata penjelasan yang baik adalah diperlukan kerana ada segelintir masyarakat tidak memahami keperluan akta itu dan mempunyai persepsi lain terhadapnya.

“Memang sukar untuk kerajaan mengubah persepsi orang lain. Tetapi kerajaan harus berusaha meyakinkan semua pihak bahawa akta tersebut penting untuk menjamin keharmonian dalam negara.

Ada yang menganggap akta tersebut hanya untuk menjaga kaum atau parti politik tertentu tetapi sebaliknya kepentingannya lebih daripada itu apabila ia turut membabitkan keselamatan negara di peringkat global,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948, ketika menyampaikan ucapan dasar parti di Perhimpunan Agung UMNO 2014, Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini kelmarin.

Sivamurugan turut memuji langkah Perdana Menteri itu, yang disifatkannya bertepatan dengan keadaan semasa, ketika banyak pihak semakin berani mengeluarkan kenyataan-kenyataan menghasut atau menyinggung perasaan orang lain.

Katanya akta itu juga penting untuk ‘mengusir’ anasir-anasir luar yang cuba membawa masuk fahaman atau tindakan menghasut rakyat negara ini menyertai kumpulan militan.

Ahli pemikir di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional itu juga menjangka kerajaan akan berdepan cabaran lebih getir untuk melaksanakan akta itu selepas ini. — Bernama

Advertisement